PM tekan keutamaan bantu rakyat susah - Utusan Malaysia

PM tekan keutamaan bantu rakyat susah

ANWAR Ibrahim (kiri) disambut penduduk ketika melawat Kampung Orang Asli Tonggang, Hulu Kinta di Ipoh. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kehadiran Perdana Menteri ke Kampung Orang Asli Tonggang di Ulu Kinta dekat sini memberi khabar gembira buat masyarakat setempat apabila diumumkan kelulusan menaiktaraf beberapa prasarana.

Antara kelulusan itu adalah untuk meningkatkan capaian Internet, baik pulih jalan serta usaha membina bangunan tambahan sekolah.

Datuk Seri Anwar Ibrahim malah berkata, berkenaan capaian Internet pihak kerajaan akan mengusahakan pemasangan peranti Starlink keluaran bilionair Tesla, Elon Musk untuk dipasangkan di kawasan itu terutama bagi kemudahan sekolah.

Pengumuman tersebut adalah sebagai memenuhi permintaan Tok Batin Kampung Tonggang, Che Wan Bin Alang yang berucap sebagai menyambut kehadiran Perdana Menteri.

Anwar berkata, kehadirannya membolehkan beliau sendiri mengetahui keperluan di kawasan tersebut dan akan berusaha mempercepatkan segala permohonan yang dibuat.

“Insya-Allah, bagi saya tempoh beberapa minggu ini dan saya minta kalau tidak diturap jalan sepenuhnya pun, biar dibaiki jalan yang berlubang agar orang selesa menggunakannya,” ucapnya semasa mengadakan lawatan kerja ke kampung tersebut dekat sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad.

Anwar berkata, kerajaan akan terus memberikan perhatian kepada keperluan penduduk berpendapatan rendah di bandar dan luar bandar serta kampung-kampung Orang Asli.

“Saya beri jaminan, kita akan beri perhatian walaupun mana-mana kerajaan tidak boleh selesai semua tahun ini juga. Tetapi yang kecil-kecil, yang saya katakan dan saya umum hendak dipastikan dijalankan segera.

“Saya tidak mahu nanti orang di Kampung Tonggang ini kata Anwar ini sama sahaja, mari umum lepas itu apa pun tiada. Saya tidak mahu macam itu,” katanya.

Tambahnya, lawatan kerja yang diadakan beliau turut menekankan kehadiran ke kawasan pendalaman termasuk kampung Orang Asli supaya jentera kerajaan sendiri dapat turun padang melihat keperluan rakyat.

Sementara itu Tok Batin Che Wan melahirkan rasa syukur dengan pengumuman Perdana Menteri dan berharap usaha berkenaan akan menaikkan taraf hidup Orang Asli di kampungnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya