PKR Putrajaya minta polis siasat hantaran kontroversi babitkan pegawai Jakim

PKR Putrajaya minta polis siasat hantaran kontroversi babitkan pegawai Jakim

MUHAMMAD Fikri Abdul Aziz menunjukkan laporan polis dibuat terhadap seorang penolong pengarah kanan Jakim berhubung kandungan kontroversi di media sosial di IPD Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Polis diminta untuk menyiasat semula kandungan kontroversi yang dikaitkan dengan seorang penolong pengarah kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang dimuat naik sekitar 2019.

Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Putrajaya, Muhammad Fikri Abdul Aziz berkata, pihaknya membuat satu laporan polis hari ini bagi meminta polis membuka semula kertas siasatan kes itu.

Beliau berkata, pihaknya difahamkan, penjawat awam itu dikenali sebagai Bakri Amboala sudah membuat laporan polis pada 2019 berhubung isu itu dan polis mengklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

“Saya difahamkan, penjawat awam itu mendakwa akaun Facebook miliknya digodam sebelum kandungan kontroversi itu dimuat naik.

“Namun, apa yang menghairankan, kandungan kontroversi itu belum dipadam sehingga kini dan dia masih menggunakan akaun Facebook sama,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya juga mendapati, imam Masjid Putra itu juga kerap memuat naik kandungan kontroversi berkaitan politik dan seolah-olah menyindir pihak kerajaan.

Muhammad Fikri berkata, kandungan yang dikongsi itu menggambarkan seolah-olah beliau langsung tidak rasa bersalah biarpun bergelar seorang penjawat awam.

“Saya menyokong tindakan dilakukan Jakim supaya individu itu dikenakan tindakan tatatertib mengikut peraturan sedia ada.

“Penjawat awam terutama daripada kumpulan pengurusan dan profesional dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan dan faham terhadap etika ditetapkan perkhidmatan awam,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis itu dan siasatan lanjut akan dilakukan.

Difahamkan, Bakri turut membuat satu laporan polis di Balai Polis Presint 7, di sini semalam berhubung isu sama.

Menurut laporan polis itu, Bakri menyatakan akaun Facebook miliknya digodam dan polis ketika itu mengesahkan kes berkenaan sebagai NFA.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusof menerusi kenyataan akhbar semalam memaklumkan sudah mengarahkan Jawatankuasa Tatatertib Jakim untuk bertindak segera.

Menurutnya, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan tatatertib terhadap pegawai yang didapati melanggar sebarang peraturan ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya