Pilih populariti, gelombang atau khidmat

Pilih populariti, gelombang atau khidmat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sepanjang beberapa hari kempen, calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) Jitra, Sabrina Ahmad, 45, memaklumkan beliau mendengar rintihan rakyat mengenai kesukaran bertemu wakil rakyat di kawasan ber­kenaan.

Perkara itu juga diulangi oleh calon Barisan Nasional (BN) DUN Bukit Kayu Hitam, Zainol Abidin Mohamad atau Cikgu Non yang berharap pengundi tidak lagi membuat kesilapan dalam pilihan raya negeri (PRN) meskipun mengakui gelombang PN masih ada.

Di sebalik kerusi Parlimen Kubang Pasu itu disandang oleh PN, kedua-dua calon daripada PH dan BN di Jitra dan Bukit Kayu Hitam itu terus memberi khidmat kepada rakyat.

“Kita (pemimpin) perlu berkhidmat buat rakyat dan bukan sekadar untuk popular dengan menggunakan platform politik.

“Jadi pengundi diharap tidak mengulangi kesilapan itu ke­rana setiap pilihan mereka itu akan melibatkan jangka masa yang panjang untuk dibaiki iaitu selama lima tahun,” kata Sabrina yang juga Ketua Wanita PKR Kedah kepada Utusan Malaysia kelmarin.

Sabrina bakal menghadapi pertembungan satu lawan satu menentang bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr. Haim Hilman Abdullah mewakili PN.

Di sebalik sosok Haim Hilman yang disifatkan agak popular di media sosial, Sabrina berharap pengundi kawasan berkenaan tidak terpengaruh dan berfikir dengan matang dalam membuat sebarang keputusan.

“Dalam kehidupan ini kadang-kadang apa yang ditonjolkan di media sosial itu bukan realiti dan hanya indah khabar dari rupa dengan memaparkan perkara yang baik semata-mata untuk tarik perhatian orang ramai.

“Saya tidak reti untuk bermadah di media sosial bagi menarik perhatian dan fokus kami hanya memberi perkhidmatan. Saya harap pengundi dapat membuat penilaian sebaiknya berdasarkan fakta bagi memilih calon,” katanya.

ZAINOL Abidin Mohamad (dua dari kiri) turun padang bagi menziarahi penduduk di Kampung Gelong Rambai, Tunjang, Kedah, semalam. – UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD

Bagi Cikgu Non, beliau tidak menafikan gelombang PN masih ada namun yakin pengundi tidak akan melakukan kesilapan lagi yang akhirnya nasib mereka tidak terbela.

“Masa PRU15, gelombang telah menyaksikan calon PN menang besar di Kubang Pasu namun Parlimen tersebut terbiar begitu saja, tidak ada tempat untuk rakyat mengadu.

“Sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, bila ada musibah, orang sakit kami turun, kami ambil alih tugas ahli Parlimen dan diharap pengundi tidak ulangi kesilapan memilih calon dalam pada PRN ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×