PETALING JAYA: Gabungan Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) menyasarkan sekurang-kurangnya 60 peratus sokongan pengundi atas pagar terus berpihak kepada mereka dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan pada 12 Ogos ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd. Halim berkata, sokongan pengundi atas pagar amat penting bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Kerajaan Perpaduan dalam enam PRN ini.
Bagaimanapun, kata beliau, kerajaan akan mensasarkan sokongan pengundi atas pagar semaksimum mungkin dalam pilihan raya tersebut.
“Kita (Kerajaan Perpaduan) mensasarkan semaksimum mungkin dan dalam kalangan pengundi atas pagar kita memerlukan paling sedikit 60 peratus. Ini supaya kumpulan pengundi tersebut akan bersama dengan kita dan mendapat satu majoriti yang meyakinkan.
“Sudah tentu (terdapat) pendekatan-pendekatan dibuat terutama di peringkat negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang iaitu negeri yang kita sudah bertapak. Jadi kita yakinkan mereka dengan khidmat serta dasar-dasar negeri telah pun kita dilakukan.
“Itu merupakan kunci kepada bagaimana menarik kepercayaan mereka kerana pengundi atas pagar lebih rasional dalam menilai dan melalui penilaian itu mereka akan tengok balik pada siapa yang boleh urus tadbir dengan baik,” katanya ketika dihubungi.

Pengundi atas pagar disifatkan sebagai penentu dalam PRN di enam negeri dan sokongan kumpulan pengundi tersebut akan membolehkan mana-mana gabungan sama ada (PH)-(BN) atau Perikatan Nasional (PN) boleh membentuk kerajaan negeri ataupun tidak.
Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan mengakui pengundi pada ketika ini tidak mudah terhasut dengan apa sahaja yang dipercakapkan oleh pihak pembangkang mahupun kerajaan.
“Pengundi atas pagar ni mempunyai sifat yang mana mereka sendiri tidak mahu tengok keadaan politik kacau-bilau dan kadang-kadang terlalu mengganggu.
“Saya yakin pengundi-pengundi atas pagar ni akan lebih banyak menilai sama ada soal dasar dan pelaksanaan. Adakah kerajaan negeri itu sudah berhasil dalam menjaga kebajikan, kesejahteraan, infrastruktur dan sebagainya,” jelasnya.
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu turut menangkis dakwaan bahawa hak orang Melayu dan agama Islam terancam dalam tiga buah negeri yang ditadbir oleh PH.
“Antara negeri banyak diserang (perkara tersebut) adalah Pulau Pinang, sedangkan negeri tersebut seperti kita tahu soal institusi agama sangat terpelihara. Ia hanya mainan-mainan sentimen.
“Kempen mereka gunakan tidak lain hanya bersifat tomahan dan membangkitkan cerita-cerita yang tidak betul. Ini apa dialami oleh penduduk atau masyarakat itu sendiri, jadi cukup untuk membuktikan sama ada perkara dimainkan tersebut betul ataupun palsu,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, PH-BN kini menyasarkan keseluruhan pengundi atas pagar dalam PRN ini.
“Laporan daripada Institut Darul Ehsan (IDE) baru-baru ini menunjukkan peningkatan pengundi atas pagar sejak tahun 2008.
“Menerusi satu kajian yang dijalankan mereka, 26 peratus responden menunjukkan tidak menyokong mana-mana parti,” katanya.
Nie Ching berkata, mereka juga komited dalam memastikan semua penyokong keluar mengundi bagi meyakinkan pengundi lain bahawa Kerajaan Perpaduan membawa kestabilan dan model negara yang terbaik untuk masyarakat pelbagai kaum.
“Sebab kita juga sedar bahawa ada dalam kalangan pengundi kita tidak kira di bahagian PH mahupun BN masih meragui jalinan politik antara PH-BN demi pembentukan Kerajaan Perpaduan hari ini.
“Tetapi, saya berharap masyarakat akhirnya sedar bahawa inilah yang kita ikhtiarkan dengan mendukung hasrat Yang di-Pertuan Agong untuk kita wujudkan sebuah Kerajaan Perpaduan dan menolak sebarang bentuk perpecahan,” jelasnya.
Tambahnya, mereka juga kini sedang rancak berkempen sama ada di pentas ceramah dan media sosial dengan penyampaian informasi yang berfakta, tepat serta sahih.
“Saya percaya pengundi atas pagar boleh membuat pertimbangan yang baik dan membuat penilaian berdasarkan fakta dan bukannya mudah terpengaruh dengan sentimen kaum atau agama semata-mata,” ujarnya. – UTUSAN










