ISKANDAR PUTERI: Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang membentuk Kerajaan Perpaduan hari ini perlu bekerja lebih keras bagi menarik sokongan pengundi khususnya masyarakat Melayu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, setakat ini, pihaknya tidak dapat memberi kepastian sama ada terdapat peningkatan dalam sokongan daripada golongan itu atau tidak.
Sehubungan itu, katanya, calon-calon PH-BN disaran melipatgandakan usaha dalam memberikan penerangan tentang kepentingan kerjasama kedua-dua pihak demi kestabilan politik negara.
“Saya sudah turun berkempen di 26 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), apa yang dapat dilihat adalah kerjasama antara jentera PH dan BN memang ada dan kolaborasi antara kedua-dua pihak amat penting.
“Apabila berjumpa dengan pengundi Melayu, contohnya, saya rasa kita perlu terus berikan pencerahan tentang gabungan ini, ia bukan sahaja disebabkan titah Yang di-Pertuan Agong, tetapi juga demi kestabilan politik dan ekonomi.
“Hasilnya kita dapat lihat pada suku pertama tahun ini, pertumbuhan ekonomi Malaysia agak kukuh dengan peningkatan 5.6 peratus manakala pelaburan pula meningkat sebanyak 60 peratus,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kampus Pusat Data GDS NTP di Taman Teknologi Nusajaya, di sini semalam.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Lee Ting Han.
Tambah Tengku Zafrul, pihaknya percaya jika penerangan jelas dan berterusan dibuat, ia akan dapat menarik sokongan masyarakat terhadap Kerajaan Perpaduan termasuk dalam kalangan masyarakat Melayu.
“Jika itu dapat dilaksanakan, kita pasti akan dapat capai kestabilan politik dalam negara sekurang-kurangnya untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Bagaimanapun, buat waktu ini, saya tidak tahu sama ada terdapat peningkatan dalam sokongan masyarakat Melayu atau tidak kerana tiada data jelas berhubung perkara itu.
“Namun, kita perlu terus bekerja keras menarik sokongan mereka,” jelasnya lanjut. -UTUSAN










