PH-BN pada momentum terbaik menang Jitra, Ayer Hitam - Utusan Malaysia

PH-BN pada momentum terbaik menang Jitra, Ayer Hitam

SABRINA Ahmad menyantuni penduduk di kawasan Jitra baru-baru ini.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJELANG hari pengundian esok selepas tempoh dua minggu kempen, calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada momentum cukup baik menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra, Ayer Hitam dan Bukit Kayu Hitam.

Tiga kerusi DUN berkenaan berada di bawah Parlimen Kubang Pasu dan Jerlun dengan satu lagi kerusi di dalam kawasan Jerlun iaitu Kota Siputeh pula peluang dilihat lebih kepada calon daripada Perikatan Nasional (PN), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir meskipun berdepan penyandang dari PH, Dr. Salmee Said.

Sepanjang tempoh kempen mendekati pengundi, dua calon muda tersebut iaitu Hayazi Azizan dari BN di Ayer Hitam dan Datin Sabrina Ahmad dari PH di Jitra menerima respon yang cukup positif daripada penduduk di kawasan tersebut termasuk dalam kalangan orang muda.

Malah, gerak kerja yang tersusun secara bersama antara BN dan PH dengan penuh keikhalasan itu banyak membantu melancarkan perjalanan sepanjang tempoh kempen tersebut.

Di Ayer Hitam antaranya, langkah BN menampilkan calon muda yang lebih segar dalam kalangan anak tempatan itu berupaya menarik sokongan pengundi untuk menerima khidmat wakil rakyat baharu di kawasan itu.

HAYAZI Azizan beramah mesra bersama penduduk di Bilik Gerakan Jentera di Pida 4, Kedah semalam.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN

Di kawasan DUN berkenaan meskipun Hayazi bakal berdepan penyandang, Azhar Ibrahim dari PN yang mempunyai kelebihan namun tidak mustahil anak muda itu mampu melakar kejutan kembali membantu BN merampas kerusi itu.

Ia tidak mustahil, memandangkan kerusi berkenaan bukanlah kubu kuat mana-mana parti memandangkan wakil rakyat di situ silih berganti antara Pas dan BN sejak tahun 1999 lagi.

Mengikut urutan kebetulan tersebut, Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, bakal memihak pada BN di Ayer Hitam.

Di Jitra pula, meskipun Sabrina bakal berdepan calon popular yang dipertaruhkan PN iaitu bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr. Haim Hilman Abdullah namun Ketua Wanita PKR negeri itu masih mempunyai peluang melakar sensasi di kerusi panas itu.

Sepanjang tempoh kempen, kebanyakkan pengundi termasuk orang muda khususnya di kawasan bandar menunjukkan penerimaan yang cukup baik terhadap calon PH itu.

Malah, kerjasama erat jentera PH dan BN sepanjang kempen tersebut turut banyak membantu.

Meskipun PN masih yakin gelombang gabungan tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan berlarutan sehingga PRN namun situasi semasa mula tampak berubah dengan rakyat sudah mula menerima pentabdiran kerajaan Perpaduan diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merangka banyak dasar khususnya berkaitan ekonomi serta kebajikan demi kepentingan negara dan rakyat secara keseluruhan.

Aura Anwar yang kerap turun padang membantu kempen termasuk di Kedah sedikit sebanyak bakal memberi kelebihan pada gabungan PH dan BN itu.

Dalam pada itu, calon BN di Bukit Kayu Hitam, Zainol Abidin Mohamad atau Cikgu Non juga berada di landasan terbaik merampas kerusi DUN berkenaan yang disandang oleh Datuk Halimaton Shaadiah Saad dari PN.

Cikgu Non yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu yang sudah puluhan tahun berkhidmat di kawasan berkenaan cukup banyak berjasa khususnya dalam aspek pendidikan serta kerja-kerja kebajikan mempunyai kelebihan kerana sudah cukup sinonim dalam kalangan penduduk di kawasan berkenaan.

Malah, luahan penduduk sebelum ini bahawa wakil rakyat di kawasan berkenaan sukar ditemui selepas menang PRU-15 menguatkan lagi peluang perubahan khususnya di DUN Bukit Kayu Hitam serta Jitra di bawah Parlimen itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya