PETALING JAYA: Persimpangan Elmina iaitu laluan keluar dan masuk ke kawasan perumahan di kedua-dua arah dari Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) ditutup buat sementara waktu sehingga kerja-kerja pembersihan dan siasatan selesai.
Sehubungan itu, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas) dalam kenyataan memaklumkan, para pengguna diminta untuk menggunakan laluan alternatif.
Menurut kenyataan itu, sebuah pesawat peribadi dilaporkan terhempas di persimpangan Elmina menuju Elmina Barat, GCE pukul 3 petang tadi.
“Menurut laporan awal, kemalangan turut melibatkan sebuah motosikal. Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), ambulans dan Peronda GCE telah berada di lokasi kejadian untuk kerja-kerja pembersihan dan mengawal trafik,” kata kenyataan itu hari ini.
Terdahulu, Utusan Online melaporkan seorang exco kerajaan negeri dipercayai antara salah seorang mangsa yang terlibat dalam kejadian sebuah pesawat ringan terhempas di laluan masuk ke kawasan kediaman Elmina di Seksyen U16, di sini, tadi.
Pesawat ringan berkenaan dipercayai telah berlepas dari Langkawi menuju ke Lapangan Terbang Subang.-UTUSAN










