Persiapkan Sabah terima limpahan ekonomi Nusantara

Persiapkan Sabah terima limpahan ekonomi Nusantara

FIRDAUSI SUFFIAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pelaksanaan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dan Ekonomi Madani antara pendekatan yang sedang diambil dalam mempersiapkan negeri Sabah susulan pembangunan ibu negara baharu Indonesia.  Nusantara, 

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Politik Ekonomi Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Dr Firdausi Suffian berkata, ketika ini dibawah perancangan SMJ dan Ekonomi Madani, pengkhususan diberi untuk mengembangkan industri hiliran di Sabah.

Langkah itu antara persediaan untuk membolehkan Sabah menerima limpahan ekonomi apabila ibu negara Indonesia berpindah ke Kalimantan.

“Kita bakal melihat sektor penting akan berkembang di Kalimantan Timur contohnya, industri kelapa sawit. Dalam aktiviti hiliran, saya melihat Sabah mempunyai kelebihan dari segi teknologi.

“Begitu juga perkhidmatan logistik dan sektor makanan yang memberi kelebihan kepada kepada Sabah.

“Dari segi penjanaan kuasa pula, kita melihat Sarawak telah mengambil langkah awal untuk bekerjasama dengan Kalimantan bagi membekalkan tenaga,” katanya.

Menurut beliau, pembangunan Nusantara itu adalah satu projek mega yang dilaksanakan oleh Indonesia dan beliau percaya banyak kajian telah dilakukan oleh kerajaan negeri Sabah, Sarawak dan Persekutuan.

Malah, laporan tentang limpahan ekonomi juga sudah pasti telah tersedia kerana pembangunan di Nusantara itu akan memberi impak besar kepada Sabah dan Sarawak.

Mengulas lanjut katanya, sektor-sektor lain yang akan turut berkembang seperti sektor perkhidmatan, pembinaan, logistik, perdagangan dan peruncitan. Begitu juga dengan jaringan internet.

Selain itu, transmigrasi tenaga kerja juga akan berlaku antara Sabah dan Kalimantan. Namun, perkara ini masih dalam perbincangan akademik dan belum ada kajian jelas yang akan menunjukkan kemungkinan rakyat Sabah juga akan berhijrah ke Kalimantan untuk bekerja.

Pada masa ini, tenaga kerja di Sabah adalah golongan separa berkemahiran jadi, belum dapat dipastikan mereka akan berhijrah dan bekerja di Kalimantan.

Sebelum ini, Indonesia dilaporkan akan memulakan pembinaan kompleks kerajaan di ibu kota baharu di Nusantara pada Ogos.

Indonesia merancang untuk memindahkan ibu kotanya ke Kalimantan Timur, dari Jakarta, untuk membawa lebih banyak kemajuan dan pembangunan di luar pulau Jawa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN