KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 19 September ini bagi mendengar permohonan pihak pendakwaan agar kesemua tujuh pertuduhan yang dihadapi oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin melibatkan kes menggunakan kedudukan dan pengubahan wang haram, dibicarakan secara bersama.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta dan tiga pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram.
Hakim Azura Alwi turut menetapkan kedua-dua pihak memfailkan penghujahan bertulis pada 8 September ini dan pihak-pihak membalasnya pada 15 September.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan, kedua-dua pihak selesai memfailkan pliding masing-masing termasuk afidavit balasan dan memohon tarikh pendengaran permohonan ditetapkan.
Beliau turut memaklumkan, pihak pendakwaan sudah menyerahkan baki dokumen untuk perbicaraan kepada pihak pembelaan semalam.
Menurut Ahmad Akram, berdasarkan undang-undang dokumen itu sepatutnya diserahkan kepada Muhyiddin.
“Oleh kerana tertuduh tidak hadir (pengecualian kehadiran), dokumen diserahkan kepada peguamnya,” ujar beliau.
Sementara itu, salah seorang peguam dalam pasukan pembelaan, Datuk Hisyam Teh Poh Teik memohon Muhyiddin dikecualikan daripada hadir pada pendengaran permohonan itu.
Azura bagaimanapun berpendapat kehadiran Muhyiddin diperlukan selepas berpuas hati permohonan itu melibatkan kepentingan beliau.
Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin, 75, didakwa di ibu negara atas enam pertuduhan iaitu empat tuduhan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.
Muhyiddin yang ketika itu Perdana Menteri dan Presiden Bersatu didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn. Bhd., Nepturis Sdn. Bhd. dan Mamfor Sdn. Bhd. serta Datuk Azman Yusoff bagi parti berkenaan.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Muhyiddin juga didakwa sebagai Presiden Bersatu menerima RM120 juta dan RM75 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik parti itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral, di sini, antara 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022.
Pada 13 Mac pula, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta di AmBank cawangan Amcorp Mall, Petaling Jaya dekat sini, pada 7 Januari 2022. – UTUSAN










