Perluas penyelidikan terhadap manuskrip Melayu lama - Pemangku Raja Perlis - Utusan Malaysia

Perluas penyelidikan terhadap manuskrip Melayu lama – Pemangku Raja Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail berangkat merasmikan Seminar Antarabangsa Integrasi Alam dan Tamadun (SUTERA) 2023 & SEMALU III yang diintegrasikan dengan tema ‘Budaya Penyelidikan Watan: Melestari Identiti Keunikan ASEAN’, di Thaksin University (TSU), Songkhla, Thailand, semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar penyelidikan terhadap manuskrip Melayu lama diluaskan dan disinergikan dengan kecekapan ilmu Sains dan teknologi terkini.

Titah baginda, ia bagi memastikan bahasa serta budaya Melayu terus menerus dikenali dan dipandang serius oleh masyarakat tempatan dan antarabangsa.

Baginda bertitah, bahasa dan ilmu persuratan Melayu sebagai khazanah warisan ilmu bangsa Melayu telah mendapat pengiktirafan pada peringkat antarabangsa.

“Manuskrip Melayu seperti hikayat Hang Tuah, dan hikayat Aceh telah diangkat dan diwartakan sebagai warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu atau (UNESCO),” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat merasmikan Seminar Antarabangsa Integrasi Alam dan Tamadun (SUTERA) 2023 & SEMALU III yang diintegrasikan dengan tema ‘Budaya Penyelidikan Watan: Melestari Identiti Keunikan ASEAN’, di Thaksin University (TSU), Songkhla, Thailand, semalam.

Baginda dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut menyempurnakan simbolik perasmian dengan membuka manuskrip yang dipersembahkan oleh Pengarah Program Bersama SUTERA 2023 & SEMALU III, Mohd Zaki Abdul Halim sambil diiringi alunan syair dan Nazam Kanzul ‘Ula.

Terdahulu, keberangkatan tiba baginda berdua ke program itu disambut oleh Presiden TSU Dr. Nathapong Chitniratna.

Program berkenaan dianjurkan secara bersama oleh universiti berusia 55 tahun itu dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dengan kerjasama Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP).

Hadir sama, Naib Canselor Unimap, Prof. Dr. Zaliman Sauli; Pro Naib Canselor (Strategi dan Pembangunan Korporat) UKM, Prof. Datuk Dr. Roslee Rajikan dan Timbalan Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dr. Aini Andria Shirin Anuarudin.

Sementara itu, baginda bertitah, kementerian dan Institusi Pendidikan Tinggi diseru untuk menitikberatkan pengukuhan adat, adab dan bahasa dalam kalangan generasi masa kini bukan sahaja dalam negara malah sehingga ke luar negara.

Untuk rekod, penganjuran seminar ini merupakan lanjutan daripada SUTERA 2019 di Langkawi yang telah dianjurkan oleh Pusat Bahasa Antarabangsa Unimap dengan penganjuran bersama dengan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya