Peniaga kedai gambar rugi, lori sawit rempuh kedai

Peniaga kedai gambar rugi, lori sawit rempuh kedai

TIGA premis perniagaan di Pekan Nyalas, Jasin, Melaka yang rosak selepas dirempuh sebuah lori sawit, awal pagi semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Seorang pengusaha kedai gambar dan perkhidmatan fotokopi menanggung kerugian selepas premis perniagaan di Pekan Nyalas dekat sini, yang menjadi mata pencarian keluarganya musnah akibat dirempuh sebuah lori sawit, awal pagi semalam.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, Hasli Limat, 58, berkata, perniagaan yang diusahakan sejak 15 tahun lalu musnah dalam sekelip mata akibat kecuaian pemandu berkenaan dalam tragedi yang berlaku kira-kira pukul 6.50 pagi.

Katanya, meskipun tidak melibatkan kehilangan nyawa, lori itu turut merempuh dua lagi premis berdekatan dan kini dia terpaksa menanggung kerugian antara RM10,000 hingga RM15,000.

“Isteri yang sedang menghantar anak ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nyalas nampak kejadian itu lalu memaklumkan kepada saya setibanya di rumah.

“Namun, apakan daya semuanya telah musnah apabila saya tiba di kedai. Impak daripada hentaman lori itu bukan sahaja merosakkan kedai tetapi turut memberi kesan kepada peralatan seperti dua mesin fotokopi, mesin cetak, komputer serta kemudahan mengambil gambar pasport,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, kemalangan berlaku selepas lori jenis Volvo itu sedang dalam perjalanan dari Merlimau ke Gemas hilang kawalan dan terbabas.

Ujarnya, selain menghentam tiga buah premis, lori terlibat yang dipandu seorang lelaki berumur 35 tahun turut melanggar sebuah motosikal yang di parkir di lokasi kejadian.

“Setakat ini kes diklasifikasikan di bawah Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×