Pemuda Pas P.Pinang dakwa ada cubaan manipulasi undi, bawa 'pengundi hantu' ketika PRN

Pemuda Pas P.Pinang dakwa ada cubaan manipulasi undi, bawa ‘pengundi hantu’ ketika PRN

MOHAMAD Ikhwan Afiq (duduk, kiri) bersama beberapa anggota Pemuda Pas ketika sidang akhbar berhubung dakwaan usaha memanipulasi undi ketika PRN di Permatang Pauh, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH: Pemuda Pas Pulau Pinang mendakwa terdapat usaha terdesak untuk memanipulasi undi daripada parti tertentu pada pilihan raya negeri (PRN), kali ini.

Ketua Penerangannya, Mohamad Ikhwan Afiq Mohamad Anwar berkata, maklumat diperoleh daripada satu sumber  boleh dipercayai itu turut mendedahkan bahawa buat masa ini, kegiatan tersebut dikesan berlaku di Pulau Pinang sahaja.

“Modus operandi mereka adalah cuba mendapatkan dan mengumpulkan sebanyak mungkin kad pengenalan pengundi di sesuatu kawasan DUN (Dewan Undangan Negeri) terutama daripada anak muda dengan menawarkan balasan berbentuk wang.

“Kemudian, kad pengenalan tersebut akan digunakan pula oleh ‘pengundi hantu’ untuk mengundi sesuatu parti tertentu sebelum ia dipulangkan semula kepada pemilik sebenar sebaik sahaja pilihan raya selesai. Kami percaya skandal penipuan pilihan raya dengan cara terdesak ini adalah sebahagian daripada cubaan terakhir mereka untuk memperoleh kemenangan secara total, tidak bersih dan tidak adil,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Menurut Mohamad Ikhwan Afiq, mereka turut diberitahu oleh sumber itu yang terlibat dalam perancangan strategik parti, ada perancangan untuk membawa masuk kertas undi secara haram dengan kaedah menukar peti undi untuk memenangkan sesuatu parti tertentu.

“Pilihan raya sepatutnya menjadi medan pertandingan secara sihat dalam suasana demokrasi yang matang tanpa mengira parti dan bukan seperti ini (ada unsur penipuan),” ujarnya.

Ditanya sama ada terdapat laporan polis yang berhubung dakwaan tersebut, kata beliau, laporan berkenaan akan dibuat sebaik sahaja mereka menerima bukti yang kukuh berhubung perkara terbabit.

“Tujuan sidang media ini dibuat adalah untuk meminta pengundi memberikan kerjasama agar isu ini dapat dibanteras selain mencegah penipuan ini lebih awal. Kami jangkakan, menjelang pusingan terakhir ini (kempen) lebih banyak usaha terdesak akan dilakukan oleh pihak tertentu semata-mata untuk menang,” katanya yang yakin dengan integriti daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menangani isu berkenaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya