IPOH: Tindakan beberapa pendatang asing tanpa izin (PATI) cuba melarikan diri dengan memanjat bumbung dan merempuh anggota penguatkuasa gagal apabila mereka dicekup dalam operasi di daerah Manjung, kelmarin.
Serbuan menerusi Op Sapu, Selera, Kutip dan Belanja itu dijalankan bermula pukul 6.30 petang hingga 12.30 tengah malam.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak, Hapdzan Husaini berkata, kehadiran pasukan operasi di kawasan premis perniagaan dan perumahan itu menyebabkan terdapat warga asing yang sanggup membahayakan diri bagi mengelak diperiksa.
Bagaimanapun katanya, kecekapan pasukan operasi telah menggagalkan cubaan warga asing berkenaan.
“Setibanya anggota operasi di lokasi tangkapan, serbuan dan pemeriksaan menyeluruh terhadap warga asing telah dilakukan.
“Bagaimanapun, terdapat beberapa warga asing cuba mengelak dengan melarikan diri, memanjat bumbung dan bersembunyi di sebalik pintu bilik di mana ada juga antara mereka cuba merempuh anggota yang membuat kepungan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, dalam operasi itu, seramai 104 individu diperiksa di mana 90 orang daripada mereka ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.
Katanya, kesemua yang ditahan berusia antara setahun hingga 50 tahun iaitu 63 lelaki dan 27 perempuan termasuk lima kanak-kanak.
“Kesemua mereka merupakan warga Bangladesh, Pakistan, India, Nepal, Indonesia dan Myanmar,” katanya.
Tambah beliau, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
“Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah.
“Kesemua mereka turut disiasat mengikut di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Akta Pasport 1966,” katanya. – UTUSAN










