PETALING JAYA: Pas menyangkal dakwaan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu yang mendakwa parti tersebut berpisah dengan Pakatan Rakyat (PR) kerana ingin menjalin hubungan politik bersama UMNO.
Ketua Penerangannya, Khairil Nizam Khirudin berkata, Pas tidak pernah menggadai prinsip perjuangan mereka dan sejarah parti tersebut memilih untuk tidak bersama DAP adalah kerana prinsip.
Kata beliau, pihak yang mengutuk Pas ingin bersama UMNO kerana kuasa, kini berada bersama-sama di dalam Kerajaan Persekutuan dan ia merupakan satu pembohongan kepada rakyat.
“Mendakwa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mahu parti berpisah dengan PR kerana isu hudud dan negara Islam kononnya satu pembohongan semata-mata adalah satu kenyataan yang lahir dari seorang yang biasa menipu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, Pas pernah bersetuju mengganti agenda negara Islam kepada negara berkebajikan dan tidak mengetengahkan isu undang-undang Hudud semasa bersama DAP dan PKR dalam gabungan Barisan Alternatif (BA) dan PR.
Mohamad yang juga bekas Timbalan Presiden Pas berkata, keputusan itu dicapai dalam perbincangan bersama Abdul Hadi dengan barisan kepemimpinan DAP antaranya Tan Sri Lim Kit Siang, Anthony Loke Siew Fook dan Lim Guan Eng serta Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mewakili PKR.
Katanya, kepemimpinan Pas hari ini perlu berhenti berbohong daripada menjaja naratif bahawa parti itu memutuskan kerjasama dengan DAP sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kerana DAP menentang perjuangan negara Islam dan Hudud, sedangkan Pas pernah bersetuju untuk tidak membawa kedua-dua agenda berkenaan semata-mata ingin memenangi pilihan raya.
Ia susulan kenyataan Abdul Hadi dalam ucapannya di Markas Pas Bakri yang mendakwa, tindakan segelintir bekas pemimpin parti itu menubuhkan Amanah kerana takut kalah dalam pilihan raya
Khairil Nizam yang juga Ahli Parlimen Jerantut itu berkata, Mohamad sudah biasa menipu dan terdapat banyak kenyataan daripada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu sebelum ini jelas menipu rakyat serta ahli partinya sendiri.
“Pembohongan paling jelas adalah pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Presiden Amanah telah mengutuk dan menghina UMNO serta Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi, namun itu hanya lakonan semata mata kerana selepas pilihan raya, Amanah memilih untuk bersama UMNO tanpa ada rasa bersalah.
“Rakyat Malaysia dan ahli-ahli Pas pasti masih ingat kata-kata Mat Sabu dalam satu ceramah semasa beliau masih bersama parti (iaitu ‘masa nanti abang mat dah keluar dari perjuangan ini, jangan ikut abang mat kerana mungkin masa itu abang mat dah tidak siuman,” katanya. – UTUSAN











