Notis merah Interpol efektif bergantung kepada negara

Notis merah Interpol efektif bergantung kepada negara

MUHAMMAD Adlan Berhan (kiri) dan seorang peguam disenaraikan individu dikehendaki selepas dikenakan notis merah oleh Interpol.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keberkesanan notis merah oleh Polis Antarabangsa (Interpol) dalam mengesan menantu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seorang peguam bergantung di negara mana mereka berada.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, ini kerana negara tetap tertakluk kepada prosedur antarabangsa untuk membawa pulang kedua-dua individu terbabit.

Menurut beliau, notis merah sekadar membantu memaklumkan semua negara yang menandatangani perjanjian antarabangsa bersama kerjasama polis antarabangsa untuk membuat pengawasan serta menghubungi melalui Interpol sekiranya mereka berada di negara itu.

“Tetapi, ini tertakluk kepada proses, jika negara berkenaaan ada perjanjian ekstradisi antarabangsa, maka baru boleh buat permohonan (tuntut bawa pulang).

“Namun, kalau tidak ada perjanjian ekstradisi dengan Malaysia, maka tidak semesti mereka (dapat) pulang kepada kita, cuma negara berkenaan (tetap) akan patuh kepada notis merah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambah Mohamed Haniff, sekiranya negara terbabit mempunyai perjanjian ekstradisi, maka negara berkenaan akan memproses permohonan Malaysia.

“Mereka proses dan tentukan mengikut sistem keadilan mereka bagi tentukan (permohonan ekstradisi). (Oleh itu) Bergantung di mana mereka berada untuk menentukan sama ada notis merah ini akan benar-benar efektif atau tidak,” katanya.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, menantu Muhyiddin, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan dan seorang peguam disenaraikan individu dikehendaki selepas dikenakan notis merah oleh Interpol.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang berkata, tindakan berkenaan dibuat selepas kedua-duanya belum pulang bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Notis merah Interpol itu dibuat selepas semakan SPRM mendapati kedua-duanya sudah meninggalkan negara, masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei lalu.

Muhammad Adlan dan seorang peguam itu disiasat SPRM berkaitan kes penyelewengan projek pendaftaran pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

Ditanya berhubung pembatalan pasport bagi memberi tekanan, Mohamed Haniff berkata, langkah itu merupakan usaha yang boleh dibuat.

“Kalau negara kita sudah batalkan pasport, biasanya Wisma Putra maklumkan semua negara melalui notis diplomasi supaya negara tersebut tahu tentang perkara itu.

“Tetapi, kita tidak tahu mereka boleh guna pasport lain atau secara tidak sah.

“Jadi, apa-apa pun tertakluk kepada penguatkuasaan negara tersebut dan urus tadbir sempadan negara itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN