Negara berisiko kurang beras jika India, Vitenam henti eksport

Negara berisiko kurang beras jika India, Vietnam henti eksport

MOHAMAD Sabu melihat hasil padi di Projek Smart Sawah Berkala Besar (Smart SBB) Mini Sekinchan Mada Kampung Lat 1,000, Arau, Perlis semalam.- UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Apa nasib keterjaminan makanan negara sekiranya negara-negara seperti Vietnam, India atau beberapa negara lain memberhentikan eksport beras secara mengejut ke negara ini.

Kebimbangan tersebut dizahir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu ketika berucap dalam program santai agro Madani penuaian padi Projek Smart Sawah Berkala Besar (Smart SBB) Mini Sekinchan Mada Kampung Lat 1,000 di sini, semalam yang memba­yangkan jika situasi berkenaan berlaku bakal memberi masalah besar kepada negara.

Kebergantungan import beras negara ketika ini adalah sebanyak 35 peratus dengan bekalan beras bagi menampung keperluan rakyat negara ini adalah 2.4 juta tan metrik setahun dengan anggaran seorang penduduk menggunakan 79 kilogram makanan ruji berkenaan dalam tempoh itu.

Mengikut data 2021, negara hanya menghasilkan 1.7 juta tan metrik beras setahun. Mengikut rekod pada 2022 pula, Malaysia terpaksa mengimport 1.11 juta tan metrik beras membabitkan dari negara seperti Vietnam, 37.2 peratus, Pakistan (36.99 peratus), Thailand (12.9 peratus) dan India 8.6 peratus atau sebanyak 95,263 tan metrik.

Mohamad Sabu berkata, India, Vietnam dan negara-negara pembekal lain telah memberi isyarat berhenti atau mengurangkan eksport beras dan jika berlaku ia akan memberi masalah kepada negara.

Beliau berkata, pihaknya akan terus berusaha meningkatkan hasil padi melalui pendekatan yang diambil seperti penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun dan langkah segera seperti penanaman ala ‘Sekinchan’ diperluaskan di kawasan-kawasan lain dengan anggaran hasil perhektar antara tujuh sehingga 10 tan metrik.

“Kalau beransur-ansur (negara-negara terlibat) sekat eksport beras masih tidak mengapa, kalau mereka buat mengejut akan jadi masalah. Rakyat Malaysia rata-rata makan nasi.

“Kita cubalah setakat mana dan berusaha supaya India dan Vietnam tidak buat keputusan mengejut untuk menyekat eksport beras.

“Tapi kalau mereka tak cukup di negara mereka, itu hak mereka, jadi kita kena buat persediaan.  Thailand harga padinya juga semakin mahal, beras juga makin mahal. Kita kena usaha sendiri di Malaysia dan saya yakin kita boleh,” katanya.

Oleh itu, kata Mohamad, tanaman ala ‘Sekinchan’ yang mampu membantu meningkatkan hasil itu akan terus diperluaskan di tempat-tempat lain dengan yang sudah dilaksana di Jertih, Terengganu manakala di Kelantan pula masih di peringkat perbincangan.

Katanya, di kawasan-kawasan lain seperti di Kedah dan Perlis ini juga telah dilaksanakan yang mampu meningkatkan hasil lapan sehingga 10 tan metrik.

“Jika kita dapat hasil tujuh tan metrik perhektar ini sudah boleh sebenarnya, sekarang ini hasil sekitar empat atau lima tan metrik perhektar. Di Sekinchan anggaran mampu mencecah sehingga 10 tan metrik perhektar,” katanya.

Oleh itu, kata  beliau, jika pelaksanaan projek Smart SBB i berjata ia  membantu  menambah hasil sebanyak sekurang-kurangnya lapan metrik tan bagi satu hektar sekali gus meningkatkan 80 peratus keperluan tahap sara diri (SSL) beras negara menjelang tahun 2030.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, kaedah penanaman padi secara konvesional yang tidak efisien menyebabkan Malaysia kerugian RM1.8 bilion kerana mengimport lebih satu juta tan metrik beras bagi menampung keperluan tempatan.

Bagaimanapun, jika kebanyakkan pesawah menggunakan kaedah seperti di Sekinchan masalah kebergantungan import beras tersebut mungkin dapat dikurangkan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN