PETALING JAYA: Nama-nama besar dan popular yang bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini, bukan ‘tiket’ atau jaminan untuk bawa kemenangan kepada parti.
Sejarah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu menyaksikan calon-calon heavyweight atau jaguh besar tewas dengan muka baharu dan pertama kali bertanding.
Antaranya Tengku Razaleigh Hamzah (BN) tewas di Gua Musang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PN) kecundang di Gombak dan Nurul Izzah Anwar (PKR) rebah di Permatang Pauh walaupun kerusi itu pernah menjadi kubu kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 1982.
Senario ini sekali gus menjadi contoh bahawa populariti dan senioriti dalam politik bukanlah faktor utama, malah terdapat kriteria lain juga yang perlu diambil kira dan menjadi penentu kemenangan calon.
Dalam PRN kali ini, situasi hampir sama juga dipersembahkan kepada pengundi dengan menampilkan calon-calon tersohor Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan, Selangor dan Negeri Sembilan.
Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan PN masih mempertaruhkan calon heavyweight yang berstatus Menteri Kabinet, Menteri Besar, bekas menteri dan pemimpin kanan parti.
Selain Mohamed Azmin yang terus dipertaruhkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang dan berdepan calon PH, Juwairiya Zulkifli, tidak kurangnya parti lain yang turut mengetengahkan jaguh besar.
Semuanya dengan harapan populariti mereka dapat memancing undi sekali gus mencipta kemenangan pada 12 Ogos ini.
Antaranya dua anggota Kabinet iaitu Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang diletakkan BN di DUN Rantau; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook selaku calon PH di Chennah.
Malah pilihan raya ini boleh disifatkan paling hangat apabila menyaksikan lima menteri besar dan seorang ketua menteri menawarkan diri bertanding, misalnya Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun di DUN Sikamat dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang berdepan pertembungan tiga penjuru di Sungai Tua.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (Ru Rendang); Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob (Pasir Pekan); Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor (Jeneri) dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Di samping itu, terdapat tiga bekas menteri Kabinet dan dua bekas menteri besar turut disahkan menjadi calon PRN iaitu bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang membuat kemunculan semula selepas 15 tahun di kerusi Pedu.
Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Said merangkap Pengerusi UMNO negeri di DUN Kijal dan bekas Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di DUN Bertam.
Mengulas lanjut, Ketua Penyelidikan Ilham Centre, Prof. Madya Dr. Mohd. Yusri Ibrahim berkata, terdapat tiga pembolehubah penting menentukan pola pengundian dalam pilihan raya iaitu jenama parti politik, calon yang bertanding dan isu semasa.
Katanya, kecenderungan pengundian pula bergantung kepada jenis dua kelompok pengundi iaitu atas pagar dan tegar.
Bagaimanapun, beliau berpendapat, bagi PRN kali ini, logo parti akan menjadi faktor paling dominan berbanding calon dan isu.
“Namun bagi pengundi atas pagar yang tidak mengikat kesetiaan terhadap mana-mana parti politik, faktor calon dan isu akan menjadi pengaruh paling penting untuk mereka membuat keputusan,” katanya.
Mohd. Yusri menjelaskan, pengundi Malaysia kini dilihat sangat dinamik dan boleh berubah dengan pantas terutamanya pengundi muda.
Katanya, sehingga kini pengundi muda masih tidak mengikat kesetiaan mutlak terhadap mana-mana parti politik.
“Jika kena dengan strategi kempen, mereka akan kalih kepada parti tertentu secara trending. Inilah yang berlaku dalam PRU15 lepas apabila pengundi muda secara trending pada saat-saat akhir membentuk gelombang hijau menyokong PN,” katanya.
Selain itu, Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr. Mazlan Ali pula berpandangan, pengundi tegar khususnya kawasan majoriti Melayu masih melihat kepada parti berbanding kriteria calon.
Sebaliknya, jelas beliau, pengundi kawasan bandar termasuk di Lembah Klang dan Pulau Pinang dilihat cenderung kepada calon dan manifesto diketengahkan sekali gus menunjukkan populariti individu diketengahkan menjadi faktor penting pola pengundian di kawasan bandar.
“Malah pengundi atas pagar juga melihat sentimen isu semasa. Oleh itu, tidak mustahil kecenderungan boleh berubah pada saat-saat akhir sebelum hari pengundian,” katanya. – UTUSAN










