Mohamed Rahim tekad mahu jadikan bandar Chukai hub pertumbuhan ekonomi  - Utusan Malaysia

Mohamed Rahim tekad mahu jadikan bandar Chukai hub pertumbuhan ekonomi 

MOHAMED Rahim Hussin (kiri) beramah mesra bersama seorang penduduk ketika berkempen dari rumah ke rumah di kawasan DUN Cukai di Kemaman, semalam. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN : Ahli perniagaan terkemuka, Datuk Seri Mohamed Rahim Hussin yang juga merupakan calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), esok bertekad mahu menjadikan bandar Chukai sebagai hub pertumbuhan ekonomi bagi menjana pendapatan penduduk. 

Mohamed Rahim, 64, yang merupakan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Tulangis iaitu sebuah syarikat kontraktor yang berwibawa berkata, sekiranya kemenangan berpihak kepadanya, beliau mahu membawa pelbagai pembangunan termasuk projek yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi di DUN tersebut. 

“Saya mahu ekonomi penduduk terutamanya daripada golongan yang kurang berkemampuan dapat ditingkatkan yang mana saya berhasrat untuk membina bandar Chukai yang baharu dengan mempunyai pusat membeli-belah berikutan penduduk di Chukai, Paka dan Dungun lazimnya akan ke Kuantan, Pahang untuk membeli-belah pada hujung minggu. 

Ketika saya berkempen, ramai peniaga mengadu kepada saya, termasuk peniaga berketurunan Cina, perniagaan mereka merosot sejak negara dilanda Covid-19, Insya-Allah saya akan cari jalan penyelesaian terbaik,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Menurutnya, beliau juga mahu membina beberapa cawangan institusi pengajian tinggi di kawasan Mak Lagam yang bakal menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, perumahan dan perkedaian di sekitar institusi pengajian tinggi tersebut. 

“Hasrat membina beberapa cawangan institusi pengajian tinggi ini telah saya suarakan kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika lawatannya ke Chukai beberapa hari lalu dan pada asasnya beliau bersetuju. 

“Bandar Chukai ini bersebelahan dengan sempadan Pahang dan di Cherating, Pahang iaitu hanya beberapa kilometer dari Chukai akan dibina sebuah lapangan kapal terbang baharu, jadi apabila siapnya projek itu saya yakin penduduk Chukai juga akan menerima limpahan rezeki dari sudut ekonomi,” katanya.. 

Mohamed Rahim berkata, beliau juga akan menggunakan pengalamannya yang telah berjaya membina lebih 10,000 unit rumah projek perumahan rakyat (PPR) di seluruh negara, untuk menyediakan perumahan yang berkonsepkan sewa beli kepada penduduk di sini dengan harga lebih murah tanpa bebanan pinjaman bank. 

Beliau yang mesra dipanggil ‘papa’ oleh golongan muda berkata, beliau turut merancang membina litar permotoran, menaik taraf kompleks belia dan suka serta membina stadium mini baharu untuk golongan tersebut.

Ditanya mengenai penerimaan pengundi sepanjang berkempen, Mohamed Rahim berkata, pencalonannya untuk merampas kembali DUN Cukai daripada Pas diterima baik. 

“Walaupun ini kali pertama saya bertanding, namun saya buka orang baharu di sini dan saya sering berada dalam masyarakat dan membantu rakyat yang dalam kesusahan sebelum ini,” ujarnya.

Dalam pertembungan satu lawan satu, Mohamed Rahim akan bertembung dengan calon Pas,  Hanafiah Mat yang merupakan penyandang kerusi tersebut selama dua penggal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya