KUCHING :Selepas kejayaan Festival Filem Asean (AIFFA), Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak mengumumkan bandar Miri sebagai tuan rumah untuk Festival Filem Asia Pasifik (APFF) pada tahun 2024.
Miri sebagai bandar kedua terbesar di Sarawak menjadi pilihan sebagai salah satu rangka promosi kerajaan negeri yang mahu meningkatkan potensi pelancongan sekaligus menarik lebih ramai pelabur dari luar.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (Industri Kreatif dan Seni Persembahan) Datuk Snowdan Lawan berkata, APFF 2024 dijangka lebih besar dan membawa ramai penggiat filem dari seluruh negara dunia.
“APFF diadakan setiap tahun oleh Persekutuan Penerbit Filem di Asia-Pasifik (FPA), idea ini dicadangkan semasa perasmian pembukaan AIFFA malam tadi dan pihak kami terus bersetuju dan memilih Miri sebagai lokasi tahun hadapan.
“Ini adalah peluang terbaik bagi industri perfileman dan kreatif untuk membuka lebih luas konteks bisnes dan sebagai bonus untuk pelaburan sekali gus mengangkat Sarawak sebagai lokasi pelancongan dan acara berprestij” katanya dalam ucapan ketika merasmikan AIFFA 2023 FilmBiz World, semalam.
Selain itu, Setiausaha Agung Persekutuan Penerbit Filem di Asia Pasifik (FPA) dan Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia, Pansha yang juga antara pencetus idea ini, melahirkan rasa teruja apabila mendapat sambutan positif dari pihak kerajaan negeri.
“Festival Filem Asia-Pasifik meliputi 22 negara di Asia-Pasifik dari Korea Selatan, Jepun, New Zealand dan Australia.
“APFF ini antara festival terbaik yang mampu mempromosi filem-filem Asia Pasifik ke peringkat global dan ini juga landasan terbaik untuk Sarawak lebih dikenali dan mampu kita bawa lebih luas.
“Miri dipilih kerana selepas Kuching, peranan kita juga mempromosi bandar kedua Sarawak ini,”katanya.
Sebagai tambahan, 670 juta penduduk ASEAN adalah populasi yang besar untuk sebarang perniagaan dan melahirkan komitmen terhadap industri kreatif yang merangkumi perniagaan filem.
AIFFA BIZ-WORLD ialah platform untuk pakar industri perfileman berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka dalam dunia perfileman.
Topik menarik seperti Pembiayaan untuk Pasaran Filem ASEAN, Memacu Pertumbuhan Perniagaan dan Inovasi dalam Industri Filem adalah tiga daripada banyak perbincangan perniagaan yang dirancang di AIFFA BIZ-WORLD ini.
Tambah Snowdan Lawan lagi, sebagai sebahagian daripada pertumbuhan AIFFA untuk Sarawak tahun ini, Kementerian berbesar hati bahawa sebuah persatuan baharu telah didaftarkan pada awal tahun ini.
Katanya, ia menerusi Persatuan Kolektif Filem Sarawak yang ditubuhkan oleh beberapa penggiat filem dan industri kreatif TV yang mempunyai pengalaman luas di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Beberapa objektif termasuk pembangunan bakat dan untuk melindungi piawaian industri filem dan TV Sarawak melalui dasar kerajaan.
“Antara objektif utama kolektif filem Sarawak adalah untuk menarik pelabur tempatan dan asing.
Selaras itu, Kementerian berbesar hati menandatangani perjanjian Memorandum Persefahaman (MOU) antara kolektif filem Sarawak dan Dana Filem Malindo (MFF), cabang pelaburan untuk dana yang akan dibuka bagi pembikin filem di Malaysia dan Indonesia.
“MOU ini membuktikan kolektif filem Sarawak akan bekerjasama dengan Malindo Film Fund untuk mengenal pasti siapa yang layak mengakses dana ini di Sarawak dan Borneo,”katanya.










