MB Selangor angkat sumpah Isnin

MB Selangor angkat sumpah Isnin

Sultan Selangor
SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor akan mengangkat sumpah dalam satu istiadat di Balairung Seri Istana Alam Shah, pada pukul 11 pagi, Isnin ini.

Istana Alam Shah dalam satu kenyataan memaklumkan, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta pengurniaan Surat Cara Pelantikan diadakan pada tarikh tersebut.

Bagaimanapun, pihak istana tidak mendedahkan sebarang nama.

Dalam pada itu, baginda juga berkenan istiadat sama bagi pelantikan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dilakukan pada sebelah petang, pada pukul 2 di lokasi sama.

Gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) diumum menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada 12 Ogos lalu selepas menguasai 34 berbanding 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kelmarin, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menghadap Sultan Selangor selama sejam di Istana Bukit Ka­yangan di sini.

Menurut Menteri Besar Sementara Selangor itu, pertemuan dengan Sultan Selangor hanya prosedur biasa beliau seperti sebelumnya antara lain berhubung perkembangan negeri, pencapaian ekonomi dan kesihatan baginda Tuanku.

Ditanya mengenai pelantikan Menteri Besar baharu, kata Amirudin, perkara itu di luar bidang kuasanya dan akan diumumkan oleh Istana Selangor kelak.

“Tidak pasti (nama beliau tersenarai), kena tanya Tuanku (Sultan Selangor). Itu (berapa nama dihantar) kena tanya Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana surat itu dihantar oleh beliau,” ujarnya.

Pada 18 Julai lalu, Anwar yang juga Pengerusi PH dilaporkan akan mencadang
mengekalkan Amirudin sebagai Menteri Besar Selangor sekiranya gabungan PH-BN memenangi PRN Selangor.

Perkara itu diumumkan Anwar selepas melihat prestasi Selangor yang mempunyai pertumbuhan ekonomi sehingga meyakinkan pelaburan-pelaburan asing. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×