Malique dan hip hop Malaysia 2023 - Utusan Malaysia

Malique dan hip hop Malaysia 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENDENGAR lagu terbaharu Malique Ibrahim, mahu tidak mahu, tetap juga saya terbayang pisau dengan ukiran cantik yang tersimpan beratus tahun. 

Harganya mahal, nilai seni dan sejarahnya tinggi tetapi sayangnya, kerana dimakan usia, ia tumpul. 

Pisau sebegitu berharga untuk dibuat koleksi, untuk orang kaya berlagak dengan orang kaya lain, tetapi tetaplah ia pisau tumpul yang tidak praktikal. 

Sebab saya fikir, Malique masih bergantung dengan gimik dan idea lama. Gimik dan idea yang sofistikated 15 tahun lalu tidak akan sofistikated lagi tahun ini. 

Ketika bakat-bakat baharu seperti B-Heart, TUJULOCA dan SECTO semakin menyerlah, Malique tampil dengan lagu yang tidak cukup segar dan menggegar, walaupun masih boleh dianggap berkualiti. Kerana hiatusnya bukan sekejap. 

Walaupun ada tampil dalam beberapa lagu bersama penyanyi lain, boleh kata TKO: Pejamkan Mata ialah karya solonya yang terakhir sebelum Sedih Hati. Sudah enam tahun. 

MARAH-MARAH POLITIK 

Dalam Sedih Hati, struktur yang diguna pakai sudah lapuk, khususnya untuk versi rasmi. 

Selang seli korus-rap yang membosankan. Sampel Ratapan Anak oleh Mona Fandey itu menarik tetapi selepas mendengar versi Tulah Remix, saya lihat ia sekadar gimik. 

Mungkin untuk menarik bual-bual tular dalam kalangan media dan pendengar. Korus Mona Fandey melunakkan kemarahan politikal yang ada dalam rangkap rap. 

Malah, ada pula yang kata lagu itu jadi seram. Liriknya tidak seram pun. Elemen seram hanya hadir kerana sosok yang menyanyi itu Mona Fandey. Dan ia tidak membantu menyampaikan kemarahan politikal yang, bagi saya, patut menjadi inti utama lagu itu. 

Mungkin contoh terdekat yang saya boleh beri ialah trek KUASA oleh Joe Flizzow dan Azlan & The Typewriter. Pesan politikal dalam lagu itu lebih tajam dan sampai, tanpa perlu Joe menumpahkan jargonjargon besar. 

Tidaklah gagal sepenuhnya. Seperti yang saya tulis lebih awal, lagu ini masih berkualiti dan baik. Cuma untuk Malique kembali dengan trek sebegini, ia agak mengecewakan. 

DEWA LIRIKAL 

Hal lirik, Malique sudah lama selesa di puncak. Sejak 2008 dia bersantai makan anggur di balairung serinya walaupun tanpa terbitan baharu. Tapi hip hop bukan sekadar tentang lirik, apatah lagi lirik-lirik berbahasa tinggi. 

Seperti kata Altimet dalam Korek Fizikal, album Havoc oleh Joe Flizzow sudah hadir untuk menamatkan empayar lirik kasta tinggi Malique. Havoc membuka jalan untuk banyak bakat-bakat baharu hip hop keluar dari hibernasi paksaan – saya petik Aman Ra pula dalam Korek Fizikal – akibat awan mendung hip hop yang dibenih standard tinggi Malique. 

Rumusan segera saya, tanpa Havoc mungkin kita tak ada Aman Ra, K-Clique atau ForceParkBois hari ini. 

Identiti utama lirik Malique terletak pada perkataan-perkataan pindah ejanya. Ia menjadi gimik sejak awal kemunculannya sebagai penyanyi solo. 

Saya sendiri menulis dalam bahasa Melayu hari ini kerana terinspirasi dengan identiti tersebut. 

Malique membuktikan bahasa Melayu itu luwes dan terbuka; dengan suntikan kreativiti serta kekayaan perbendaharaan kata (dalam apa bahasa pun), penulisan dalam bahasa Melayu boleh jadi menarik. 

Namun, sejak kenal Homicide dari Indonesia, kekaguman saya terhadap Malique meluntur. Kerana Homicide lebih puitis dalam keras, lebih lunak dalam lantang. 

Perbandingan terus sebegitu memang tidak baik tetapi saya cuma mahu beritahu, gimik sama oleh Malique tidak boleh bertahan lama. 

Ia segar pada 2008 atau mungkin sehingga 2017 tetapi pada 2023, kalau mahu terus relevan dan memberi kesan kepada industri, Malique perlu tampil dengan gimik dan kesegaran baharu. 

HIP HOP 2023 

Bakat hip hop kegemaran saya tahun ini ialah TUJULOCA dan Yarobin Yashar (semoga dia kembali, tak kiralah kalau guna nama baharu pun). 

Dari segi album pula, saya suka MEMENTO MORI oleh B-Heart. Yang dinanti-nanti terbitan baharunya – SECTO. Jarang saya tampilkan bakat atau isu hip hop di Rondivu kerana saya belum cukup mendalami budaya mereka. 

Fokus penulisan saya ialah muzik sebagai fenomena sosial, jadi pemahaman budaya itu penting untuk memulakan penulisan. Maka, ulasan saya tentang Malique dan hip hop ini mungkin lemah, cuma ia perlu direkod. 

Sekurang-kurangnya untuk saya nilai perkembangan pengetahuan tentang hip hop diri sendiri suatu masa nanti. 

Hip hop punya potensi besar untuk muzik tempatan kerana mereka sudah lama berjaya tembus ke arus perdana. 

Peminat ramai, menjadikan hip hop lapangan yang boleh buat duit. Dengan duit, banyak batas yang boleh ditembus. Maka, manfaatkanlah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya