Malaysia perlu hasilkan padi tahap sara diri

Malaysia perlu hasilkan padi tahap sara diri

Malaysia perlu menghasilkan padi pada tahap sara diri bagi elak pergantungan bekalan dari negara lain.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia perlu berusaha menghasilkan padi untuk mencapai tahap sara diri (SSL) sepenuhnya tanpa bergantung kepada import.

Ini kerana Malaysia berkeupayaan mencapai tahap tersebut dan tidak mustahil menjadi negara pengeksport beras sekiranya semua pihak khususnya pesawah sanggup berubah dan dapat menghasilkan pengeluaran padi sekitar 10 tan per hektar.

Buat masa ini, kebanyakan tanaman padi di kawasan Lembaga Pertanian Muda (MADA) hanya mengeluarkan hasil sekitar empat ke lima tan bagi satu hektar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketika ini, SSL negara adalah pada tahap 70 peratus menyebabkan Malaysia bergantung kepada import beras dari India dan Vietnam.

Malaysia perlu berusaha ke arah SSL sepenuhnya berikutan negara terbabit sudah memberi isyarat mengurangkan atau berhenti mengeksport beras.

Dalam perkembangan sama, semalam Indonesia mengumumkan akan mengimport dua juta tan beras menjelang akhir tahun ini bagi menghadapi kemarau yang dijangka berlaku akibat El Nino.

Ini diburukkan lagi dengan kebimbangan harga beras import dijangka terus meningkat susulan kebimbangan terhadap bekalan global dengan memperlihatkan harga beras di Asia mencecah
paras tertinggi dalam tempoh hampir 15 tahun.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Pertubuhan Gerak Tani, Datuk Mazlan Aliman berkata, sebenarnya Malaysia mempunyai banyak kepakaran tanaman padi, sebaliknya peranan pakar pengalaman itu dikesampingkan sekali gus menyebabkan idea mereka terbiar begitu sahaja.

Katanya, penghasilan padi kini berdepan pelbagai cabaran termasuk ketidaktentuan cuaca sekali gus pengkongsian kepakaran amat diperlukan manakala mekanisme tanaman perlu berubah seiring perkembangan semasa.

“Tetapi sistem tanaman masih takuk lama, malah tiada usaha perubahan besar-besaran yang dilakukan bagi meningkatkan pengeluaran padi bagi me­ngurangkan kebergantungan import beras.

“Jika keadaan ini berterusan, sukar untuk meningkatkan lapan metrik tan sehektar padi atau lebih meskipun kerajaan membelajakan banyak wang untuk menambah pengeluaran.

“Dua kata kunci di sini adalah libatkan bersama kepakaran tempatan dan kena ada reformasi sistem tanaman padi yang masih guna cara lama,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, negara-negara pembekal beras import seperti India dan Vietnam telah memberi isyarat mengurangkan atau berhenti eksport beras.

Hal ini kerana timbul kebimbangan harga beras import dijangka terus meningkat berikutan kebimbangan terhadap bekalan global dengan memperlihatkan harga beras di Asia mencecah paras tertinggi dalam tempoh hampir 15 tahun.

Dalam pada itu, Mazlan menambah, kerajaan dan pemain industri perlu menyalurkan insentif kepada mana-mana pihak yang mahu mengusahakan ta­nah sebagai tanaman padi memandangkan mereka berdepan kekangan kewangan.

Katanya, masalah itu menyebabkan banyak tanah sawah terbiar begitu sahaja kerana tidak dapat diusahakan.

“Kebanyakan mereka tiada keupayaan dana untuk mengusahakan sawah, jadi perlu satu insentif agar dapat membantu pesawah mengusahakan tanam sekali gus dapat meningkatkan pengeluaran padi,” katanya.

Pada masa sama, Ketua Pe­ngarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, pada masa ini, varieti padi yang dihasilkan pihaknya berpotensi mengeluarkan hasil di antara 10 hingga 12 tan sehektar di sam­ping mempunyai elemen ketahanan terhadap penyakit yang tinggi, rintang pada perubahan cuaca seperti kemarau.

Walaubagaimanapun, bagi mendapatkan hasil pengeluaran padi yang optimum, pengurusan sawah perlu dipertingkatkan dengan menitik berat aspek pengurusan baja dan pengairan yang sistematik selain penggunaan input tambahan sebagai pemangkin hasil pengeluaran padi.

“Usaha-usaha ini akan dapat memastikan keterjaminan bekalan beras negara seandainya negara- negara pengimport beras mengenakan sekatan,” katanya.

Ketua Laboratori Kajian Dasar Pertanian dan Makanan Institut Pertanian Tropika Dan Sekuriti Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Abdul Rahim Abdul Samad pula berkata, Malaysia mempunyai lima varieti padi baharu yang berkeupayaan menghasilkan sekurang-kurangnya lapan tan padi sehektar dihasilkan penyelidik tempatan.

Katanya, penggunaan benih padi seumpama itu perlu diperluaskan yang boleh ditanam dan dituai tiga kali setahun untuk menyelesaikan isu ketergantungan beras import kepada semua pesawah di seluruh negeri.

Beliau berkata, dengan menggunakan varieti padi baharu itu, objektif kerajaan mencapai tahap sara siri beras negara boleh dicapai lebih mudah.

“Varieti benih padi Seri Waja (MR315) dan Kembang Sari (MRQ104) dapat mengeluarkan hasil sehingga sembilan tan metrik beras per hektar dan bersifat lebih daya tahan serangan pe­nyakit serta sesuai dengan ke­adaan tanah dan cuaca di negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini