Makin ramai pesawah pilih tanam sawit

Makin ramai pesawah pilih tanam sawit

TANAH sawah yang ditukar kepada tanaman kelapa sawit (kiri) ketika tinjauan di Sungai Manik semalam. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Kos penanaman padi terutama harga racun dan baja yang meningkat menyebabkan semakin banyak pesawah di Sungai Manik di sini menukar tanah mereka kepada tanaman kelapa sawit.

Pesawah berkata, hasil padi ‘tidak balik modal’ walaupun ada subsidi ditawarkan oleh kerajaan berbanding tanaman lain terutama kelapa sawit.

Kata mereka, malah menanam pisang lebih menguntungkan daripada menanam padi.

Seorang pesawah yang enggan namanya disiarkan berkata, dia memiliki 9.3 hektar tanah sawah pusaka daripada orang tuanya yang dikongsi bersama adik beradik, namun, sejak 10 tahun lalu,  sudah ditanam kelapa sawit.

Menurutnya, walaupun pada awalnya dia ragu-ragu terhadap keputusannya itu, namun kini terbukti keputusannya itu berbaloi apabila menikmati hasil daripada kelapa sawit yang diusahakannya.

“Saya menukar tanah ini daripada padi kepada kelapa sawit kerana tidak tahan dengan kos untuk menanam, membaja dan meracun yang naik setiap musim, itu belum lagi jika padi diserang penyakit atau serangga perosak, yang menyebabkan padi tak menjadi.

“Memang ada subsidi padi, tapi jumlah yang diperoleh masih tidak mencukupi jika nak dibandingkan dengan modal, tenaga dan usaha yang digunakan untuk tanaman padi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, selepas menanam kelapa sawit di atas tanah bekas sawah yang diusahakannya, dia menikmati hasil yang lebih memuaskan.

Katanya, memang berlaku naik dan turun harga kelapa sawit namun sekurang-kurangnya hasilnya boleh dijual secara berterusan.

“Dengan tanaman kelapa sawit, paling kurang dua kali sebulan saya boleh menjual hasilnya, berbanding padi kena tunggu masak sepenuhnya,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang juga enggan dikenali berkata, dia baru sahaja menukar penggunaan tanah untuk padi kepada tanaman pisang sejak enam bulan lalu.

Menurutnya, dia mengubah tanaman kepada pisang selepas melihat rakan-rakannya yang lain menikmati hasil yang baik daripada tanaman pisang berbanding padi.

“Buah pisang sentiasa ada harga dan hasilnya berterusan, kadang kala setandang pisang berangan boleh dapat RM35. Semakin luas tanaman pisang, makin tinggi hasil yang kami dapat.

“Saya percaya walaupun semakin banyak tanah sawah yang ditukar kepada tanaman lain, penghasilan padi tidak terjejas kerana kualiti padi semakin meningkat bagi setiap ekar yang ditanam,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN