Mahkamah Kehakiman Persekutuan juga wajib junjung syariah

Mahkamah Kehakiman Persekutuan juga wajib junjung syariah

WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Sebarang pindaan kepada peruntukan enakmen pentadbiran agama Islam Negeri yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan lebih wajar dibawa
ke Dewan Undangan Negeri (DUN) setelah diperhalusi oleh pakar bidang dan bukannya melalui proses semakan kehakiman.

Mahkamah Persekutuan diberikan kuasa di bawah Perkara 4 dan 128 Perlembagaan Persekutuan untuk mengisytiharkan peruntukan enakmen Negeri yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan sebagai terbatal.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar Perlembagaan, Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, kes semakan untuk menentukan keabsahan sejumlah peruntukan dalam enakmen negeri khususnya yang menyentuh bidang kuasa mahkamah syariah lebih sopan ditangguhkan sehingga Pejabat Peguam Negara (AGC) mengemukakan pandangan kepada Majlis Raja-Raja.

Ini terutama berkaitan isu kes semakan kehakiman berhubung petisyen untuk mengisytiharkan 20 peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 2019 (EKJSK) adalah tidak sah mengikut Perlembagaan.

Menurut pensyarah Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu, isu ini perlu diselesaikan dengan bijaksana tanpa ada mana-mana pihak membuat tanggapan seolah-olah institusi Islam diserang dan fungsi mahkamah syariah ingin dilumpuhkan.

“Isu bidang kuasa dan prinsip kedaulatan negara perlu dilihat secara bersama, tidak boleh secara terasing.

“Bidang kuasa mahkamah kehakiman Persekutuan serta batasannya dalam hal ehwal undang-undang peribadi orang Islam turut perlu diberikan perhatian kerana sistem kehakiman negara hanyalah satu, tidak bersifat dualisme,” katanya di sini semalam.

Wan Ahmad Fauzi berkata, mahkamah syariah adalah mahkamah negeri yang mempunyai bidang kuasa ke atas undang-undang peribadi orang Islam.

Jelasnya, bidang kuasa DUN adalah lebih luas daripada batasan yang diberikan kepada mahkamah syariah dan mempunyai kuasa penggubalan di bawah peruntukan nyata dan baki perundangan di bawah Perkara 77 Perlembagaan yang boleh dibicarakan selain mahkamah syariah.

Katanya, jika ada hasrat mana-mana pihak yang secara terancang untuk mengusulkan pembatalan peruntukan enakmen tertentu di seluruh negara, langkah tersebut perlu dilakukan hanya setelah cadangan dikemukakan kepada AG dan penasihat undang-undang negeri (PUUN) terlebih dahulu.

“Pihak tersebut perlu mempunyai niat yang baik dan jangan sampai mengundang persepsi buruk terhadap institusi pentadbiran keadilan Islam di negeri.

“AG dan PUUN boleh memberikan pandangan kepada MRR untuk melihat isu tersebut mengikut perundangan,” katanya.

Melalui pendekatan ini, beliau memberitahu, penerangan boleh dibuat kepada rakyat agar tidak menimbulkan kegelisahan dan salah faham.

Ini kerana katanya, bidang kuasa yang kini dipertikaikan itu diberikan kepada mahkamah syariah melalui proses penggubalan undang-undang di DUN, setelah RUU berkaitan diperakui oleh PUUN masing-masing.

“Tanpa pendekatan yang dcadangkan, bayangkan apa persepsi umat Islam apabila melihat satu persatu bidang kuasa mahkamah syariah dibatalkan, dan ia berlaku di setiap negeri.

“Kejadian tersebut pastinya boleh menimbulkan ketegangan kerana masih ramai yang mnganggap sistem keadilan Islam hanya di mahkamah syariah. Apabila bidang kuasa mahkamah syariah dipertikai, itu sekali gus mempertikai kedudukan Islam,” katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, kerajaan dan pihak berwajib perlu menerima dan menjelaskan kepada rakyat kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan Negeri.

Katanya, Islam bukan sahaja menjadi panduan dalam mahkamah syariah, bahkan prinsip Islam adalah sebagai panduan kehakiman selaras dengan prinsip kedaulatan negara dan seksyen 3 akta undang-undang sivil 1956 (semakan 1972) yang meletakkan prinsip keutamaan keadaan tempatan.

“Justeru tiada istilah mahkamah islam itu hanya mahkamah syariah, manakala mahkamah sivil itu adalah mahkamah bukan syariah.

“Pada hakikatnya mahkamah kehakiman persekutuan perlu mematuhi prinsip kedaulatan undang-undang, keluhuran perlembagaan dan keutamaan keadaan tempatan yang berpaksi kepada kedudukan Islam sebagai undang-undang watan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya