Lebih 25,000 pelajar terima manfaat Program Kebun Nuri Nutrisi Bank Rakyat - Utusan Malaysia

Lebih 25,000 pelajar terima manfaat Program Kebun Nuri Nutrisi Bank Rakyat

K. SARASWATHY (kiri) melihat sayur yang ditanam menerusi Program Kebun Nuri Nutrisi Bank Rakyat di SMK Air Kuning, Tapah hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Program Kebun Nuri Nutrisi Bank Rakyat telah memberi manfaat kepada lebih 25,000 pelajar golongan berpendapatan rendah (B40) di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, K. Saraswathy berkata, program yang mendapat pembiayaan oleh Bank Rakyat itu telah dilaksanakan sejak empat tahun lalu.

Katanya, sehingga kini, sebanyak 30 buah sekolah terlibat selain tiga buah institusi pengajian tinggi (IPT) dalam program berkenaan.

“Inisiatif yang diambil oleh Bank Rakyat ini menunjukkan bagaimana sebuah bank atau agensi perbankan boleh menambahbaik tahap sara diri masyarakat sekali gus menoktahkan isu miskin tegar.

“Ini kerana, hasil tanaman yang dituai itu bukan sahaja boleh diberikan kepada pelajar-pelajar B40, malah dijual kepada komuniti pada harga berpatutan di mana pulangannya digunakan bagi mengadakan program,” katanya selepas merasmikan Kebun Nuri Nutrisi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Kuning di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi Bank Rakyat, Nor Haimee Zakaria.

Menurut beliau, menerusi program itu, ia juga dilihat mampu memupuk minat dalam kalangan pelajar terhadap bidang pertanian dan keusahawan.

“Pelajar-pelajar ini boleh belajar cara atau teknik penanaman moden sama ada menggunakan kaedah fertigasi dan hidroponik. Melalui ilmu yang diperoleh itu, mereka boleh cuba melakukannya pula di rumah,” katanya.

Sementara itu, Nor Haimee berkata, Bank Rakyat sentiasa prihatin terhadap kesejahteraan dan kebajikan masyarakat selaras dengan objektif Malaysia Madani bagi memastikan setiap rakyat dapat menikmati nikmat kesejahteraan.

“Antara objektif utama program ini dilaksanakan adalah bagi membantu memakmurkan pelajar B40 dalam memperoleh bantuan dana secara berterusan menerusi pengurusan tanaman kebun sayur-sayuran yang mana hasilnya boleh dituai.

“Inisiatif ini juga seiring dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus yang mencipta nilai untuk pemegang kepentingan bank,” katanya.

Terdahulu, Saraswathy turut meninjau operasi mesin juruwang automatik (ATM) Bank Rakyat yang ditempatkan di Stesen Minyak BH Petrol Air Kuning. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya