Laungan 'merdeka' gegarkan Shah Alam - Utusan Malaysia

Laungan ‘merdeka’ gegarkan Shah Alam

Merdeka
AMIRUDIN Shari mengetuai laungan merdeka sebanyak tujuh kali sebaik sahaja detik 12 tengah malam 31 Ogos tiba pada Sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 Peringkat Negeri Selangor dekat Dataran Kemerdekaan di Shah Alam, Selangor, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bandar raya Shah Alam ‘bergegar’ dengan laungan ‘merdeka’ yang dilaungkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan disambut lebih 10,000 pengunjung sebaik sahaja detik 12 tengah malam 31 Ogos tiba, malam tadi.

Dalam sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 Peringkat Negeri Selangor sebanyak 66 kontinjen yang menjadi simbolik ulang tahun kemerdekaan ke-66 menyertai acara perarakan dalam sambutannya.

Selain itu, sebanyak 11 persembahan termasuk pertunjukan bunga api sebagai acara kemuncak disajikan kepada ribuan pengunjung yang membanjiri Dataran Kemerdekaan Shah Alam bagi menunjukkan manifestasi patriotisme mereka terhadap negara.

Amirudin dalam ucapannya berkata, kemakmuran dan pembangunan negara khususnya negeri ini yang dicapai saban tahun tidak wajar diperjudikan melalui kritikan sehingga membawa kehancuran.

“Hikayat Hang Tuah juga mengajar kita bahawa cekalnya menjadi bendahara. Meniti di antara kesetiaan dan kemakmuran rakyat. Betapa liciknya bendahara kerana menyembunyikan Hang Tuah. Betapa beraninya Bendahara ‘derhaka’ akan perintah Sultan Mansur Syah demi kemaslahatan rakyat, negeri hatta demi kebaikan tuanku Sultan Melaka itu sendiri.

“Ia juga mengajar kita bahawa kritikan adalah dibenarkan, namun cara Jebat adalah salah. Sebarang Ketertiban kritikan bukan dengan kegilaan Jebat. 

“Mengganggu-gugat keamanan negara sama sekali tidak ditolak ansur. Kegilaan, melampaui batas, radikalisme Jebat tidak boleh menjadi pegangan,” katanya.

Dalam ucapan sama, beliau turut menyentuh falsafah ahli sejarah Inggeris, R. G. Collingwood yang memandu pemahaman sejarah dan menafikan dakwaan-dakwaan bahawa ia akan berulang.

“Beliau mengkritik mazhab sejarah yang fanatik mahu menanggapi serta memahami peristiwa menerusi kaedah positivistik atau saintifik. Collingwood mengkritik sikap sembrono mahu menggunakan kaedah saintifik terhadap sejarah dan beranggapan bahawa sejarah pastinya akan berulang seakan-akan suatu kitaran. 

“Collingwood menolak apa yang kita kenali kemudiannya sebagai dialektika termasuklah dialektika kelas. 

“Menekuni R.G Collingwood mengingatkan saya kepada Karl Popper dalam The Poverty of Historicism dan karya-karya Ibnu Khaldun.

“Mengapakah ia penting untuk diperkatakan terutama ketika menyambut Hari Kemerdekaan? Kerana mereka ini berlapang dada dan berjiwa besar,” jelasnya.

Pada sambutan itu juga, pengunjung turut disajikan dengan persembahan artis terkemuka tanah air iaitu Ziana Zain dan Iman Troye serta Datuk Awie yang mengakhiri sambutan gilang-gemilang itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya