SYDNEY: Polis Australia menembak mati seorang remaja berusia 16 tahun selepas dia bertindak menikam seorang lelaki dalam kejadian di Perth yang disifatkan sebagai insiden keganasan oleh pihak berkuasa.
Terdapat tanda-tanda remaja yang bersenjatakan pisau dapur itu menjadi radikal dalam talian dan pihak berkuasa negeri memaklumkan menerima panggilan daripada anggota masyarakat Islam tempatan yang prihatin sebelum serangan berlaku.
Tiga pegawai tiba dan menembak pistol taser ke arah suspek namun gagal menghentikannya.
Difahamkan, remaja itu ditembak selepas enggan meletakkan pisau dan meluru ke arah pegawai polis.
“Serangan di pinggir bandar Willetton mempunyai ciri khas keganasan tetapi masih belum diisytiharkan sebagai tindakan pengganas.
“Pada peringkat ini suspek dipercayai bertindak secara bersendirian,” kata Pemimpin Australia, Barat, Roger Cook pada sidang media yang disiarkan di televisyen.
Menurut polis, mangsa yang mengalami tikaman belakang badan kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di hospital.
Perdana Menteri, Anthony Albanese berkata, beliau diberi taklimat mengenai insiden itu oleh polis serta agensi perisikan yang memaklumkan tiada ancaman berterusan ekoran insiden itu setakat ini.
“Kami adalah negara yang cintakan keamanan dan tidak ada tempat untuk ekstremisme ganas di Australia,” kata Albanese di platform media sosial X.
Insiden itu berlaku selepas polis New South Wales mendakwa beberapa remaja lelaki atas kesalahan berkaitan keganasan selepas menikam seorang paderi ketika siaran secara langsung di Sydney pada 15 April.
Beberapa hari sebelum itu, kejadian tikam membunuh enam orang di pinggir pantai Sydney di Bondi.
Menurut kerajaan persekutuan, jenayah senjata api dan pisau jarang berlaku di Australia, yang secara konsisten berada di antara negara paling selamat di dunia.-REUTERS










