MUAR: Program Jualan Rahmah akan dilaksanakan dalam skala lebih meluas tahun hadapan sekiranya mendapat peruntukan tambahan dari pada Kementerian Kewangan.
Pemangku Menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya akan mengesyorkan cadangan itu pada minggu hadapan ketika sesi libat urus kedua-dua kementerian untuk inisiatif Bajet 2024 selepas mendapat sambutan daripada penduduk.
Katanya, cadangan berkenaan juga bertujuan untuk memastikan program Jualan Rahmah yang diikhtiarkan oleh ‘Legasi Perjuangan’ Arwah Datuk Seri Salahuddin Ayub dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang.
“Kita harapkan ditambah daripada RM100 juta (Bajet 2023), kepada RM150 hingga ke RM200 juta, sekiranya dipertimbangkan tambahan ini, beberapa model lagi akan dilaksanakan.
“Antara cadangan adalah program dalam premis, luar premis dan secara bergerak seperti yang ada sekarang” katanya dalam sidang akhbar selepas Walkabout Jualan Rahmah DUN Simpang Jeram@JDT Corner Big Screen Southern Tigers, Dataran Cenderawasih Sungai Abong, dekat sini, hari ini.
Menurut Armizan lagi, pihak KPDN juga berharap dapat menginstitusikan Jualan Rahmah ini sekali gus sebagai satu program teras kepada kementeriannya dan kerajaan sebagai satu mitigasi atau ‘immediate short-term’ untuk menangani isu kos sara hidup.
“Program ini juga melibatkan kerajaan dan juga komuniti perniagaan contohnya persatuan nelayan, penternak dan sebagainya dengan menawarkan harga dalam kadar diskaun 10 hingga 30 peratus yang dikongsi bersama sebahagian melalui peruntukkan kerajaan, subsidi dan sebahagian lagi adalah sumbangan Rahmah.
“Jadi apabila dibahaskan nanti, kita harap Ahli Parlimen (termasuk Ledang dan Bakri) boleh sokong,” katanya.
Terdahulu, baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta, sebagai tambahan kepada inisiatif Jualan Rahmah sedia ada.-UTUSAN










