Konsert Goyang Asia Koplo Milenia tukar nama, elak kontroversi - Utusan Malaysia

Konsert Goyang Asia Koplo Milenia tukar nama, elak kontroversi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lantaran mendapat kecaman dan kritikan kerana pemilihan nama Konsert Goyang Asia Koplo Milenia, pihak menganjur akhirnya membuat keputusan untuk menukar nama konsert kepada Konsert Milenia Live In Kuala Lumpur.

Pengarah Projek Mission Sight Sdn. Bhd, Riezman Khuzaimi berkata, keputusan penjenamaan semula konsert yang dijadualkan pada 30 September nanti dibuat demi mengelakkan kontroversi dan diharap menangkis stigma segelintir pihak terhadap genre dangdut.

“Kami baru mula gerakan mempromosikan konsert mega yang bakal berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam, tetapi sudah pun telah menjadi sasaran kritikan segelintir pihak yang memiliki persepsi negatif terhadap irama dangdut.

“Demi membuang persepsi masyarakat dan menghormati semua pihak, Konsert Goyang Asia Koplo Milenia telah dijenamakan semula kepada Konsert Milenia Live In Kuala Lumpur.

“Pihak kami sedar apabila disebut dangdut koplo sudah pasti ada yang menyangka kemunculan barisan penyanyi nanti disertai tarian seksi, namun itu semua sekadar tanggapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menggabungkan penyanyi dangdut Malaysia-Indonesia, jelas Riezman juga, setiap penyanyi terutama dari Indonesia iaitu Siti Badriah, Fitri Carlina, Hesty Klepek-kelepek dan Rheyna Morena telah diingatkan tentang garis panduan persembahan.

“Sejak awal lagi mereka tiada masalah mengikuti ketetapan dan menghormati garis panduan bukan hanya pada persembahan, bahkan meliputi penampilan pada malam tersebut.

“Sebagai penggiat seni, Mission Sight lebih teruja menonjolkan seni di dalam muzik itu sendiri tanpa membawa elemen negatif sepertinya tanggapan pihak tertentu.

“Kami hanya menjual irama dan lagu, bukan unsur negatif tarian dan gelek lucah macam tuduhan dilemparkan ketika pengumuman konsert ini,” katanya lagi.

Selain empat penyanyi dangdut negara republik itu, Konsert Milenia Live In Kuala Lumpur turut dimeriahkan kemunculan Ratu Dangdut Malaysia, Amelina selain Ani Maiyuni.

Malah, bersempena sambutan bulan kemerdekaan, pihak penganjur mengumumkan penjualan tiket harga rahmah yang memberikan peluang peminat berhibur dengan potongan diskaun sehingga 50 peratus.

“Ini adalah konsert pertama Mission Sight yang sebelum ini berpengalaman luas dalam penganjuran acara serta festival mega.

“Harga istimewa ini turut ditawarkan kerana kami merancang mengadakan konsert untuk malam ke dua dan jika terlaksana kemungkinan artis sensasi seperti Baby Shima dan beberapa artis lain dapat tampil.

“Lebih membanggakan, konsert ini juga mungkin akan mencatat sejarah dan diabadikan dalam Malaysia Book of Records, sekiranya tiket habis terjual,” katanya.

Konsert itu juga bakal dimeriahkan dengan Festival Muzik Milenia selama tiga hari berturut-turut di perkarangan Stadium MBSA Shah Alam bermula 29 September hingga 1 Oktober 2023.

Antara pertandingan melibatkan lima negara Malaysia, Indonesia, Singapore, Brunei dan Thailand di festival berkenaan adalah pencarian Raja dan Ratu Dangdut Asia, pertandingan tarian dan cabaran One Minutes Challenge.

Tiket mengikut zon kini boleh didapati di laman sesawang www.ticket2u.com.my yang menawarkan harga terkini bermula dari RM240 (VIP Koplo), RM134 (Asyik), RM89 (Rindu) hingga ke zon berdiri yang hanya RM50. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya