KKM perkenal pemberian vaksin Tdap, kurangkan risiko jangkitan pertussis - Utusan Malaysia

KKM perkenal pemberian vaksin Tdap, kurangkan risiko jangkitan pertussis

ZALIHA MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperkenalkan pemberian vaksin kombinasi tetanus–difteria-pertussis (Tdap) kepada semua ibu hamil di negara ini sebagai usaha mengurangkan risiko jangkitan pertussis terutama dalam kalangan bayi berusia bawah lima bulan.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, pemberian vaksin Tdap kepada ibu hamil akan memberi perlindungan kepada bayi bermula dari dalam kandungan hingga lahir.

Menurut beliau, inisiatif tersebut akan dapat melengkapkan tiga dos primer vaksin pertussis pada usia lima bulan, melalui antibodi dari tubuh ibu yang dipindahkan kepada bayi dari dalam kandungan.

Sehubungan itu katanya, pemberian vaksin Tdap kepada ibu hamil akan dapat mencegah jangkitan pertussis dalam kalangan bayi yang berumur kurang dari lima bulan dalam negara.

“Inisiatif baharu ini melibatkan peruntukan tahunan sebanyak RM25 juta, bagi meliputi anggaran 500,000 ibu hamil di seluruh negara pada setiap tahun. KKM kini sedang membuat perancangan rapi pelaksanaan pemberian vaksin Tdap kepada semua ibu hamil di seluruh negara.

“Apabila dilaksanakan kelak, semua ibu hamil, termasuk bukan warganegara, akan diberikan satu dos vaksin Tdap ketika trimester kedua atau ketiga kehamilan (antara tempoh kehamilan 13 hingga 36 minggu) secara percuma di fasiliti kesihatan primer KKM di seluruh negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bagi tahun ini iaitu sehingga 23 Ogos terdapat sebanyak 343 kes pertussis dengan 24 kematian dilaporkan di seluruh Malaysia, daripada keseluruhan jumlah kes tersebut, 173 kes merupakan bayi berusia bawah lima bulan.

Dari 24 kematian yang dicatatkan pula, 19 kematian berlaku dalam kalangan bayi berusia bawah 5 bulan.

Dr. Zaliha berkata, bayi berumur bawah lima bulan merupakan kumpulan paling berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan pertussis dan mengalami komplikasi penyakit tersebut seperti radang paru-paru, radang otak dan kematian.

“Perkara ini berlaku kerana antibodi dalam tubuh bayi hanya akan mencapai tahap perlindungan yang optimum apabila bayi lengkap menerima tiga dos vaksin pertussis yang diberikan di bawah Program Imunisasi Kebangsaan apabila berumur lima bulan,” katanya.

Tambahnya, pelaksanaan inisiatif tersebut dijangka akan bermula pada tahun hadapan selepas urusan perolehan bekalan vaksin Tdap selesai dan bekalan vaksin itu tersedia di fasiliti kesihatan KKM seluruh negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya