PETALING JAYA: Kesemua penumpang termasuk Seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan sebuah Negeri (exco) dipercayai menaiki pesawat ringan ke Langkawi bagi menghadiri sebuah mesyuarat.
Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, mesyuarat yang dihadiri mereka membabitkan Majlis Tindakan Pembangunan sebuah negeri.
“Mesyuarat itu berlangsung hari ini, bagaimanapun tidak dapat dipastikan kesemua mereka berada di Langkawi sejak bila,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Utusan Malaysia memperoleh senarai nama penumpang dan krew membabitkan pesawat ringan berkenaan, namun, tiada pengesahan berhubung penularan maklumat itu.
Terdahulu, sepuluh individu dikhuatiri maut selepas sebuah pesawat ringan terhempas di laluan masuk ke kawasan kediaman Elmina di Seksyen U16, di sini, tadi.
Mereka mangsa terlibat terdiri lapan individu menaiki pesawat ringan berkenaan selain dua mangsa yang menaiki sebuah motosikal dan kereta.
Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Mohamad Shoki Hamzah berkata, masing-masing seorang penunggang motosikal dan pemandu kenderaan maut selepas dirempuh pesawat ringan berkenaan.
Operasi masih berjalan dan identiti kesemua mangsa masih belum dapat dipastikan
Pesawat ringan berkenaan dipercayai telah berlepas dari Langkawi menuju ke Lapangan Terbang Subang.-UTUSAN