Kes Ebit Lew : 436 gambar tangkap layar mungkin dikacau -Saksi

Kes Ebit Lew : 436 gambar tangkap layar mungkin dikacau ganggu-Saksi

EBIT Lew (dua kanan) menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret Tenom hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TENOM: Saksi ketujuh kes perbicaraan gangguan seksual membabitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew, mengakui ada kemungkinan 436 gambar tangkap layar mesej dan imej daripada telefon bimbit pengadu dikacau ganggu sebelum tangkap layar dibuat.

Saksi ketujuh, Juruanalisis Kanan Siasatan Audio Video PDRM, Asisten Superitendan Latifah Abdul Aziz semasa pemeriksaan balas berkata, beliau bersetuju dengan pandangan peguam mewakili tertuduh, Ram Singh bahawa ada kemungkinan sebelum tangkap layar dibuat, mesej dan imej daripada telefon Samsung Galaxy A31 (milik pengadu) dikacau ganggu.

Beliau juga bersetuju bahawa kesemua 436 gambar yang diesktrak adalah gambar tangkap layar dan bukannya mesej asal yang diambil daripada aplikasi dalam telefon bimbit berkenaan.

Berdasarkan laporan analisis forensik yang disediakan, beliau menyatakan kesemua 436 item yang diekstrak adalah gambar tangkap layar.

Saksi juga memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak menyemak mesej asal sebelum tangkap layar terhadap mesej dalam telefon Samsung Galaxy A31 dibuat.

Mengenai soalan peguam bahawa tangkap layar daripada telefon Samsung Galaxy A31 itu dibuat semasa pengadu berada di Kuala Lumpur, saksi berkata, beliau tidak tahu tentang perkara itu.

Malah, saksi juga tidak tahu bahawa pengadu yang merupakan pemilik telefon Samsung Galaxy A31 yang dianalisis berasal dari Tenom.

Kemudian, apabila peguam menunjukkan enam gambar tangkap layar berbeza yang tidak mengandungi unsur seksual, saksi memberitahu bahawa hasil pemeriksaan dan analisis yang dijalankan, memang ada beberapa gambar tidak mempunyai unsur seksual.

“Gambar tangkap layar itu secara tidak sengaja telah dipilih semasa saya meneliti semua gambar-gambar tersebut. Saya serahkan kepada pegawai penyiasat sekiranya diperlukan. Ia terpulang kepada pegawai penyiasat sama ada gambar itu penting untuk siasatan atau tidak,” katanya di Mahkamah Majistret Tenom hari ini.

Peguam turut mencadangkan beberapa gambar yang diekstrak daripada telefon Samsung Galaxy A31 itu bukan gambar asal yang dihasilkan daripada telefon berkenaan.

Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew,38, berhadapan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi Whatsapp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.

Atas kesalahan itu, Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

Perbicaraan dilakukan dihadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria dan Nor Azizah Mohamad manakala, Ebit diwakili peguam Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut dan Mohd. Syarulnizam Salleh Keruak. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN