ISKANDAR PUTERI: Kerjasama politik Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) yang merupakan seteru lama dalam kancah politik ini masih sukar diterima di peringkat akar umbi dan memerlukan masa untuk meyakinkan mereka.
Naik Ketua Pemuda UMNO, Mohd. Hairi Md. Shah berkata, perkara ini pernah dilalui oleh parti ketika menjalinkan kerjasama politik dengan Pas ke arah pembentukan Muafakat Nasional (MN) sebelum ini.
Beliau berkata, pada awal kerjasama politik itu menyaksikan BN-Pas bertanding di beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, DUN Balakong, DUN Seri Setia dan Parlimen Port Dickson namun tewas kesemuanya.
Tambahnya, selepas empat bulan bersama, gabungan parti politik mula menampakkan hasil apabila memenangi PRK Parlimen Cameron Highlands, DUN Semenyih, DUN Rantau, Parlimen Tanjung Piai, Parlimen Kimanis serta dua PRK DUN di Chini dan Slim.
“Berdasarkan kronologi PRK yang berlaku ini menyaksikan kerjasama politik antara musuh ketat yang berpanjangan pada asalnya dilihat satu yang mustahil, menimbulkan 1,001 persoalan dan tidak diyakini akar umbi ini akhirnya membuahkan hasil pada penghujungnya.
“Begitu juga kerjasama politik yang belaku hari ini dalam Kerajaan Perpaduan, yang dahulunya musuh kuat kepada UMNO-BN, tetapi disebabkan kedinamikan landskap politik Malaysia pada hari ini, ia satu perkara yang tidak mustahil dan bukan suatu yang pelik,” katanya selepas melawat Institut Dato’ Onn (IDO) di Afiniti Medini, di sini hari ini.
Mohd. Hairi yang juga ADUN Larkin berkata, dalam konteks kerjasama politik, khususnya bersama seteru yang sekian lama dimusuhi, isu penerimaan akar umbi sememangnya satu yang tidak boleh diubah sekelip mata.
Jelasnya, setiap pemimpin yang berperanan sebagai pendokong serta penggerak parti perlu habis-habisan memberi keyakinan kepada akar umbi.
“Pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) yang baharu sahaja selesai ini, janganlah kita masih menuding jari mencari siapa yang salah, siapa yang patut bertanggungjawab dan siapa yang patut letak jawatan.
“Sebaliknya, kita sama-sama mengambil tanggungjawab bangkitkan semula UMNO dan kembalikan semula kepercayaan rakyat serta pengundi kepada UMNO-BN. Itu yang lebih penting dan perlu kita lakukan mulai hari ini.
“Mandat serta amanah yang diberikan ini janganlah kita abaikan dan ketepikan. Rakyat dan pengundi sudah menjalankan tanggungjawab mereka, janganlah kita terus hidangkan mereka dengan episod politik yang jelik dan bosan untuk mereka tonton serta tertawakan,” katanya. – UTUSAN










