PETALING JAYA: Beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M.Thinaah masih jauh daripada prestasi sebenar mereka, walaupun diletakkan selaku pilihan pertama, mereka bergelut sebelum mara ke suku akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan di Taipei City, Taiwan, hari ini.
Gandingan No. 5 dunia itu berhempas pulas sebelum meraih kemenangan ke atas beregu remaja tuan rumah, Chen Yan Fei-Sun Liang Ching 11-21, 21-12, 21-15 dalam masa 43 minit di pusingan kedua.
Kali pertama bertemu pasangan No. 48 dunia itu, Pearly-Thinaah gagal membuka aksi mereka dengan baik apabila kecundang dalam set pertama, tetapi, mujur mereka berjaya memanfaatkan pengalaman yang ada untuk muncul sebagai pemenang.
Pada suku akhir, esok, Pearly-Thinaah yang masih mencari sentuhan ‘berbisa’ mereka, akan beraksi menentang satu lagi gandingan muda tuan rumah, Lin Chih Chun-Yang Chu Yun yang menghuni ranking ke-39 dunia.
Berdasarkan rekod pertemuan, Pearly-Thinaah belum pernah bertemu beregu tersebut dan seperti aksi, hari ini, bekas beregu No. 2 dunia itu perlu meningkatkan kualiti permainan mereka bagi mengelak kejutan tidak diingini.
Kontras dengan persembahan yang ditujukkan oleh Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan, beregu remaja Malaysia itu mempamerkan prestasi yang lebih meyakinkan berbanding senior mereka.
Zi Yu-Noraqilah yang merupakan beregu ke-67 dunia mencipta kejutan ke atas pasangan tuan rumah yang berada di tangga No. 11 dunia, Hsu Yin Hui-Lin Jhih Yun 20-22, 21-13, 21-11 dalam masa 56 minit.
Selayaknya memegang gelaran sebagai ‘giant killer’, Zi Yu-Noraqilah akan berdepan beregu No. 36 dunia, Hathaithip Mijad-Napapakorn Tungkasatan dari Thailand pada suku akhir.
Jika permainan yang disifatkan peminat badminton tanah air sebagai menghiburkan itu dikekalkan, beregu muda tersebut mampu melangkah lebih jauh pada kejohanan berstatus Super 300 itu.
Sementara itu, dalam acara perseorangan lelaki, pemain muda negara, Eogene Ewe tewas kepada bintang tuan rumah yang menghuni ranking No. 6 dunia, Chou Tien Chien 17-21, 20-22 dalam masa 43 minit. – UTUSAN










