KUALA TERENGGANU: Seorang ahli UMNO, Aizat Fikri Nasir Fikri mempertikaikan keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menolak aduannya berhubung isu pelanggaran perlembagaan parti oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 lalu.
Ahli UMNO Kuala Nerus itu berkata, beliau bimbang kejadian pelanggaran perlembagaan parti akan berulang kembali dalam pemilihan parti susulan keputusan KDN dan RoS tersebut.
Menurutnya, RoS sepatutnya mengambil tindakan tegas terhadap parti itu selepas usul tambahan mengenai jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan yang diluluskan PAU 2022 yang didakwa tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan UMNO.
“Pelbagai tanda tanya timbul seperti yang saya nyatakan di dalam surat kepada MDN (Menteri Dalam Negeri) mengenai pertimbangan yang dibuat oleh MDN dalam masa yang singkat.
“Jika benar satu kesalahan telah dilakukan oleh UMNO melalui Presiden dan Timbalan, tindakan keras harus diambil oleh RoS bagi memperbetulkan keadaan.
“Apa jaminan Ros dan MDN jika hal ini dihalalkan, persatuan dan parti politik lain tidak akan melakukan perkara sama dan mencabul demokrasi dalam berpersatuan.
“Apa juga jaminan daripada pihak RoS dan MDN yang taktik ini tidak akan diulang kembali oleh Presiden dan Timbalan Presiden UMNO setibanya pemilihan parti yang akan datang, kerana telah ada ‘precedent case’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, Aizat Fikri berkata, beliau meminta KDN dan RoS memberi penjelasan berkaitan aduan tersebut.
Malah, katanya, beliau juga telah menghantar surat Kepada kepada Ketua Pengarah Ros dan Menteri Dalam Negeri pada 10 Julai lalu bagi mendapatkan penjelasan tersebut.
“Dalam kenyataan media pada 7 Mac, MDN telah memberi pengecualian kepada UMNO melalui Seksyen 70 dan pada 10 April saya telah menerima surat daripada RoS mengatakan aduan saya diklasifikasikan sebagai NFA (Tiada Tindakan Lanjut).
“Berdasarkan kenyataan media daripada MDN disusuli surat RoS, boleh saya rumuskan bahawa telah berlaku satu pelanggaran peruntukan dalam Akta 832 oleh UMNO,” ujarnya. – UTUSAN