Kenaikan kadar faedah AS tidak lagi beri kesan besar kepada negara - Utusan Malaysia

Kenaikan kadar faedah AS tidak lagi beri kesan besar kepada negara

- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) menaikkan lagi kadar faedah sebanyak 25 mata asas kepada 5.50 peratus minggu lalu tidak memberi kesan besar seperti dahulu terutama kepada pasaran modal dan ekonomi dunia.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, dengan menaikkan kadar faedah berterusan, Fed menjangkakan aktiviti seperti pinjaman dan pelaburan akan menjadi lebih mahal, justeru akan mengurangkan permintaan terhadap barangan, perkhidmatan dan keperluan tenaga buruhnya.

Ujarnya, walaupun dolar AS kembali mengukuh dengan indek DXY yang mengukur kekuatannya berbanding enam mata wang utama lain kepada 101.94 semasa, tetapi masih jauh daripada purata dahulu iaitu di sekitar 103 ke 104 pada Jun ataupun pada 112/113 pada Oktober 2022.

“Malah, pasaran ekuiti dunia terutama di New York, Chicago meningkat dan terus mengukuh, ia juga melimpah kepada pasaran ekuiti global termasuk Bursa Malaysia.

“Semenjak minggu lepas, pasaran ekuiti negara menerima aliran pelaburan asing secara berterusan yang terus mendorong indeks utama Bursa Malaysia melepasi 1,400 mata, iaitu yang pernah dicapai pada Mei yang lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau menjelaskan, banyak saham-saham Malaysia terutama kewangan, tenaga, teknologi dan telekomunikasi berada pada harga yang rendah beberapa bulan, seterusnya menarik ramai pengurus dana asing untuk memasuki dan membeli saham syarikat tempatan pada harga yang menarik.

“Namun, turun naik indek komposit bursa kebelakangan ini lebih didorong kepada aktiviti pengambilan untung,” ujarnya.

Walaupun Fed AS dijangka akan menaikkan lagi kadar faedah pada September depan, Aimi Zulhazmi berkata, kemungkinan besar Bank Negara Malaysia (BNM) tidak akan mengambil langkah yang sama tahun ini untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

“BNM pastinya menyokong perkembangan ekonomi domestik yang dijangka menunjang ekonomi negara tahun ini, apabila pertumbuhan eksport negara dijangka terus sederhana bagi separuh kedua 2023 berikutan kelembapan ekonomi AS, negara-negara Eropah, United Kingdom dan China.

“Kemerosotan eksport China yang berterusan memberi kesan langsung kepada sektor pembuatan negara kerana kedudukan kita dalam rantaian bekalan global itu sendiri. Pengurangan permintaan negara-negara maju dari China turut mengurangkan permintaan barangan buatan kita yang dieksport ke China,” ujarnya.

Selain itu, beliau menambah, ekonomi domestik negara dijangka akan bergantung kepada industri pelancongan dengan menyasarkan 16 juta pelancong tahun ini, sebahagian besarnya dari China.

“Pastinya dasar fiskal kerajaan turut membantu menjana ekonomi domestik dan diselaraskan oleh dasar monetari BNM bagi menentukan inflasi terkawal dalam usaha menjana ekonomi domestik supaya terus berkembang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN