KESELESAAN tidur yang optimum amat penting bagi merangsang perkembangan otak dan tumbesaran bayi.
Lazimnya, seseorang bayi memerlukan tidur yang mencukupi dan berkualiti antara 16 hingga 20 jam sehari.
Kajian mendapati satu daripada lima bayi mengalami kesukaran tidur dalam tempoh 12 bulan pertama seperti menangis dan kerap terjaga.
Justeru, ia memerlukan teknik yang betul bagi menidurkan mereka dalam keadaan selesa dan selamat.
Bagi masyarakat Banjar, mereka menggunakan kaedah berpukong atau bapukong yang diamalkan sejak turun temurun.
Berpukong merupakan amalan tradisi membedung bayi dalam buaian dengan teknik lilitan kain pada leher.
Bayi yang dipukong berada dalam posisi duduk menegak seperti dalam perut ibu atau ditimang.
Buaian itu kemudian dihayunkan dengan iringan nyanyian dan lagu mendodoi bayi dalam loghat Banjar.
Turut disertai selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW, teknik itu membolehkan bayi tidur lebih lena dan selamat.
Tradisi dari Kalimantan Selatan, Indonesia itu kebiasaannya diamalkan bagi bayi yang berusia antara empat bulan hingga dua tahun.

Yang Dipertua Persatuan Banjar Malaysia (PBM), Datuk Azlikamil Napiah berkata, rutin itu diwarisi daripada nenek moyang yang kebanyakannya bekerja sebagai petani dan pesawah.
“Apabila memiliki bayi atau anak yang masih kecil, masyarakat Banjar berfikir bagaimana cara untuk menjaga dan dalam masa sama boleh melakukan kerja harian.
“Jadi, pada zaman itu mereka mencari pelbagai kaedah dan menemukan cara bapukong yang sesuai untuk menidurkan bayi,” katanya.
Jelasnya, berpukong hanya dilakukan kepada bayi yang sudah boleh duduk bagi mengelak kerosakan tulang belakang.
Kaedah mendudukkan bayi sama seperti dalam kandungan ibunya sebelum dilahirkan.
“Selepas diletakkan dalam buaian, leher bayi dililit dengan kain batik menerusi teknik amalan generasi terdahulu,” ujarnya.
Menurut Azlikamil, kaedah unik itu berkesan membuatkan bayi tidur lebih lena biarpun bukan dalam keadaan berbaring.
Selamat, tidur lena
Tidak dinafikan, segelintir masih ragu-ragu dan kurang yakin mengenai aspek keselamatan anak yang berpukong.
Namun, jangan bimbang kerana ia memang selamat untuk diamalkan.
Malah, tiada sebarang kes buruk atau kemalangan melibatkan si cilik pernah berlaku setakat ini.
“Bayi bukan saja tidur lena dan tidak jatuh buaian, bahkan kurang menangis apabila terjaga.
“Ini sekali gus dapat mengelak risiko diserang sawan,” katanya.
Tradisi berpukong itu antara acara tumpuan pada program Minggu Tradisional Banjar 2025 anjuran PBM di Teratak Anak Emas di Kampung Simpang Lima, Sungai Besar, Selangor, baru-baru ini.
Program selama tiga hari dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Selangor dan Persatuan Sejarah Universiti Malaya (PSUM) itu meliputi pelbagai pengisian termasuk adat perkahwinan Banjar, permainan tradisi dan makanan seperti wadai kiping.
PBM yang ditubuhkan sejak awal 80-an itu kini mempunyai lebih 4,000 ahli di seluruh negara terutama di Selangor, Perak, Johor, Pahang dan Pulau Pinang.
Sementara itu, Yang Dipertua PSUM, Aizad Nabil Ikhwan Aiza Khusairy, 21, berkata program berkenaan disertai seramai 30 penuntut daripada Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM).
“Bagi kami, ia sesuatu yang amat unik dan baharu untuk dipelajari secara lebih mendalam termasuk keunikan tradisi berpukong.
“Ini juga kali pertama kami menyertai program berkaitan etnik tempatan dan akan dijadikan sebagai projek akhir pembelajaran.
“Pelbagai ilmu dan pengalaman diperoleh menerusi program ini termasuk mengenali cara hidup, makanan dan permainan tradisi Banjar,” katanya.
Pengerusi PBM Bubuhan Sungai Besar, Harun Al-Banjari pula berkata, program itu perlu diteruskan bagi menarik minat anak muda terutama daripada komuniti Banjar.
“Bagi kawasan Sabak Bernam, kita mempunyai lebih 1,400 ahli termasuk Sungai Besar dengan 64 peratus daripadanya terdiri daripada golongan muda.
“Justeru, kita mahu mereka terus diberikan pendedahan dengan kebudayaan dan tradisi Banjar supaya tidak terus dilupakan atau ditelan zaman,” katanya.

Jadi pilihan ibu
Seorang peserta program itu, Datin Hasnah Awang, 66, turut mengamalkan tradisi berpukong bagi tiga anaknya ketika melakukan kerja rumah.
“Masa zaman nenek saya dahulu, bayi dibawa ke sawah dan diletakkan di bawah pondok atau dangau.
“Dengan berpukong, ia dapat mengelak bayi daripada terjatuh atau lemas ketika tidur.
“Apabila bayi terjaga, saya dapat mengawalnya kerana anak sudah dibedung dengan kain dan tidak dapat berjalan keluar dari buaian,” katanya yang berasal dari Kampung Tanjung Piandang, Kerian, Perak.
Sementara itu, ibu kepada dua anak, Nur Nasitah Nordin, 32, mengakui masih mengamalkan kaedah itu yang membantu bayinya tidur lebih nyenyak dan selesa.
“Berpukong itu bagi saya diibaratkan seperti bayi tidur dalam pelukan ibu dan anak juga sememangnya suka dipeluk.
“Saya sejak kecil juga memang menggunakan kaedah sama oleh ibu bapa dan masih meneruskannya kepada bayi bongsu, Hani Zuyyin Zahin Wazini yang berusia sembilan bulan,” katanya.










