POKOK SENA: Penantian hampir 20 tahun seorang penoreh getah berketurunan Siam, Sayan Prak Sat untuk melihat anak sulungnya, Khatanak, 19, diperakui sebagai warganegara berakhir apabila menerima surat kelulusan permohonan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini.
Menurut Sayan, 46, dia merasakan anaknya seolah-olah kembali dilahirkan selain menyifatkannya sebagai hadiah terbesar yang diterima menjelang Hari Kebangsaan.
Katanya, sebaik sahaja menerima panggilan yang menyatakan anaknya akan menerima surat kelulusan tersebut, dia terkedu seketika sambil menangis sebelum memaklumkan berita gembira tersebut kepada ibunya, Nusawang Akklai, 65, yang turut sama menitiskan air mata.
“Selepas itu barulah saya memaklumkan kepada Khatanak mengenai kelulusan tersebut. Malah saya berpesan kepadanya supaya jangan ke mana-mana kerana bimbang kalau dia terlebih seronok, berlaku pula kejadian tidak diingini terhadapnya.
“Menjelang ketibaan 31 Ogos, saya rasakan ini merupakan hadiah terbesar buat kami sekeluarga. Kami dah menunggu terlalu lama dan kelulusan ini memberi makna amat besar buat kami sekeluarga.
“Jika Khatanak mahu sambung pelajaran, saya akan aturkan perancangan terbaik untuknya dan jika dia mahu bekerja, saya akan carikan pekerjaan berkaitan kemahiran seperti mekanik. Saya bersyukur kerana ada kawan-kawan yang sudah bersedia membantu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menemani anaknya menerima surat tersebut daripada Saifuddin selepas majlis penyerahan sumbangan pembelian van jenazah kepada Masjid Ar-Raudhah, Sungai Durian di sini.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan kebimbangan Sayan yang merupakan anak jati Kedah terhadap nasib anaknya yang belum diiktiraf sebagai warganegara Malaysia serta tidak memiliki Mykad, hingga menyebabkannya berdepan pelbagai masalah termasuk hanya dapat mengikuti pembelajaran secara formal di peringkat rendah selain sukar mencari pekerjaan.
Masalah itu berlaku akibat kealpaan Sayan dan isterinya yang merupakan warganegara Thailand, Sawitree Darasawang terlewat mendaftarkan perkahwinan mereka yang berlangsung pada 2003 di Kampung Lubok Sengkuang, Changlun. Mereka hanya mendaftarkan perkahwinan tiga tahun kemudian sedangkan Khatanak lahir pada 2004 di Hospital Jitra.
Sayan bagaimanapun lega kerana dua lagi anaknya iaitu Thawiwat dan Suphanit yang dilahirkan pada 2009 serta 2018, tidak mempunyai masalah taraf warganegara disebabkan perkahwinannya bersama Sawitree sudah didaftarkan pada waktu itu.
Sayan berkata, mereka sekeluarga amat berterima kasih kepada Saifuddin serta semua pihak termasuk akhbar ini yang memberi perhatian terhadap masalah dihadapi anaknya.
“Kalau tiada yang beri perhatian terhadap isu ini, saya tak tahu apa nasib akan dihadapi Khatanak. Saya berterima kasih terhadap keprihatinan kerajaan yang tidak pilih kasih untuk membantu mana-mana kaum asalkan permohonan dibuat dengan betul,” katanya.
Dalam pada itu Khatanak memaklumkan yang dia mahu mencari peluang bagi menyambung pelajaran sebelum mencari peluang pekerjaan yang lebih baik selepas ini.
“Disebabkan isu yang timbul, saya hanya mampu melakukan kerja-kerja kampung dengan ayah dan sukar mencari kerja. Sebaik sahaja dimaklumkan mengenai berita ini oleh bapa semalam, saya terlalu gembira dan menangis,” katanya. – UTUSAN










