PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengisi kekosongan jawatan dengan mengambil doktor yang telah menamatkan latihan perubatan siswazah (housemanship) untuk berkhidmat di lokasi-lokasi baharu.
Langkah itu sekiranya permohonan rayuan diluluskan bagi doktor-doktor yang dilantik secara tetap supaya kekal di tempat perkhidmatan sedia ada atau berpindah ke penempatan lain.
Ketika ini, doktor-doktor yang ditawarkan lantikan tetap dikehendaki berpindah ke lokasi baharu, namun, sebanyak 1,843 rayuan doktor untuk kekal di penempatan sedia ada atau bertukar ke penempatan lain.
Memberitahu Utusan Malaysia, pejabat Kementerian Kesihatan berkata, sebanyak 3,226 pegawai perubatan yang digerakkan secara berfasa dan langkah untuk menampung kekosongan berkenaan telah bermula sejak Julai lalu.
Justeru, kementerian berkata, tidak timbul kebimbangan bahawa kelulusan permohonan rayuan pegawai perubatan untuk tidak berkhidmat di tempat sepatutnya mereka diarahkan selepas penawaran lantikan tetap.
“Bagi mengisi ruang kekosongan, kementerian akan gantikan dengan calon tamat yang telah tamat housemanship. Ia bermula dari Julai sehingga Disember.
“Sebanyak 3,226 yang akan dihantar secara berfasa bermula dengan 675 orang pada bulan Julai, diikuti 1,150 pegawai pada bulan ini (Ogos) manakala bakinya secara berperingkat sehingga hujung tahun ini,” katanya.
Selain itu, kementerian memberitahu sedang mempertimbang doktor yang telah berkhidmat di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang telah cukup tempoh minimum atau berkhidmat lebih dari dua tahun untuk kembali ke tempat asal.
“Doktor yang telah berada di Sabah, Sarawak dan Labuan yang telah mencukupi tempoh minimum berkhidmat lebih dari dua tahun untuk dibawa pulang ke Semenanjung bagi mengisi kekurangan doktor
“Kerajaan juga mungkin menggunakan konsep hospital kluster bagi mengatasi masalah kesesakan di hospital dan pusat kesihatan,” katanya. – UTUSAN










