KDN nafi beri kewarganegaraan secara besar-besaran kepada rakyat China - Utusan Malaysia

KDN nafi beri kewarganegaraan secara besar-besaran kepada rakyat China

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POKOK SENA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menempelak pihak yang cuba memutar belit fakta berhubung tindakan proaktif kementeriannya dalam menyelesaikan isu kewarganegaraan ketika ini. 

Menurutnya, antara dakwaan ditimbulkan di media sosial termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) kononnya sedang dalam proses memberi taraf kewarganegaraan secara besar-besaran kepada rakyat China.

Katanya, dakwaan itu adalah tohmahan sedangkan selama ini terdapat individu yang menanti puluhan tahun untuk disahkan taraf kewarganegaraan, walaupun dilahirkan di negara ini dan ibu bapa mereka juga rakyat Malaysia.  

“Antara isu yang sering timbul adalah kelewatan daftar perkahwinan oleh ibu bapa hingga timbul masalah kewarganegaraan anak. Jadi inilah antara proses yang sedang dipermudahkan bagi membantu rakyat. Tak akan kita nak hukum anak-anak atas kekhilafan ibu bapa mereka.

“Saya faham isu warganegara ini sensitif dan ia disemarakkan pula dengan putar belit fakta seolah-olah KDN beri taraf kewarganegaraan rakyat China serta 54,000 rakyat Vietnam. Itu perbuatan yang langsung tiada tanggungjawab yang pada akhirnya mempengaruhi fikiran rakyat hingga langkah mulia KDN dilihat dalam perspektif hodoh serta salah,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar setelah menyampaikan sumbangan pembelian van jenazah kepada Masjid Ar-Raudhah dan sijil kelulusan permohonan warganegara kepada seorang remaja keturunan Siam di sini hari ini. 

Tambah Saifuddin, selain isu kelewatan pendaftaran perkahwinan, isu kewarganegaraan yang sering timbul turut melibatkan proses pengambilan anak angkat oleh ibu bapa rakyat Malaysia daripada pusat jagaan. 

“Ini kes (memohon menjadi warganegara) paling banyak kami berdepan yang selama ini tiada orang peduli tentang mereka sedangkan proses itu dibenarkan undang-undang. 

“Jadi fikirkan tentang masa depan anak kerana kalau kita nak main ‘blame game’, bagaimana nak betulkan semula? Jadi saya tepis tohmahan cukup dahsyat yang disebut tanpa rasa bersalah kononya kerajaan beri kewarganegaraan secara besar-besaran kepada rakyat China,” katanya.

Secara keseluruhannya kata Saifuddin, terdapat kira-kira 140,000 permohonan kewarganegaraan yang perlu disemak dan KDN sudah memberi jawapan sama ada lulus atau tidak kepada kira-kira 9,000 permohonan setakat ini.

Perhatian sama katanya, turut diberikan terhadap kanak-kanak tanpa kerakyatan di kawasan pedalaman Sabah serta Sarawak dengan perkara itu turut dibincangkan bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan antara kedua-dua pihak bagi mencari penyelesaian kepada isu tersebut. Kerajaan negeri Sarawak telah mengumpulkan golongan berkenaan dan saya baru saja selesaikan kira-kira 940 permohonan melibatkan golongan kanak-kanak tersebut. 

“Itu saja caranya untuk menjaga kebajikan rakyat kerana kita tak boleh nafikan bahawa kesedaran mengenai peri pentingnya memiliki dokumen pengenalan diri adalah segala-galanya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN