PENYANYI Indonesia, Kunto Aji tidak menyangka sebuah album yang digarap selama dua tahun akan memberikan rezeki yang melimpah.
Mantra Mantra yang dihasilkan berdasarkan ‘perang’ dalam kepalanya rupanya diterima sangat baik sehingga melayakkan penyanyi asal Jogjakarta itu memenangi Album Terbaik Anugerah Musik Indonesia (AMI) 2019.
Lagu-lagu dalam album Mantra Mantra mula dilabel sebagai muzik healing, sebuah trend muncul dalam kalangan anak muda yang lebih cenderung bercakap tentang kesejahteraan mental.
“Saya selalu mendidik pendengar bahawa lagu saya bukan ubat. Mereka harus berjumpa pakar.
“Namun jika mendengar lagu saya membantu mereka berasa lebih baik, saya tumpang gembira. Adakalanya mereka hanya mahu didengari dan muzik membuatkan mereka berasa demikian.
“Sebelum ini saya sendiri menghadiri sesi terapi dan kini saya sudah tahu cara mengendalikan diri saya ketika ‘jatuh’. Alhamdulillah sekarang saya boleh mengawal diri dan tidak kembali ke sana (berjumpa pakar),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pemegang trofi Breakthrough Artist of the Year, Indonesian Choice Awards 2015 itu tidak menafikan sepanjang mempersembahkan lagu dari album Mantra Mantra di khalayak, dia berkali-kali berasa sebak khususnya lagu Pilu Membiru.
Prihatin dengan keadaannya, ibunya pernah meminta agar Kunto Aji tidak lagi menulis lagu-lagu sedih. Oleh itu, penyanyi Terlalu Lama Sendiri itu menulis sebuah single bertajuk Salam Pada Rindu yang menceritakan sisi bahagia dan kehangatan di dalam keluarga.
“Selalu saya beremosi semasa membuat persembahan terutama lagu Pilu Membiru. Namun saya cuba melepaskan semua perasaan itu.
“Jika ada masanya saya beremosi di atas pentas, penonton akan membantu saya menyanyikannya. Saya seorang yang sukar menangis.
“Bahkan ketika bapa saya meninggal, saya tidak menangis kerana menenangkan ibu dan adik-adik saya. Sehinggalah anak saya memeluk dan berkata ‘ayah tak mengapa kalau mahu nangis’,” ceritanya dalam nada sebak.
MELEPASKAN MANTRA MANTRA
Setelah lima tahun bersama Mantra Mantra, kini lelaki yang mesra disapa sebagai Maskun itu bersedia untuk melepaskan album kesukaan ramai itu.
Kunto Aji bersedia menghalakan tumpuan peminat kepada album baharunya yang bakal muncul pada September ini.
“Saya cuba meletakkan perasaan paling besar yang saya rasakan selama lima tahun ini di dalam album tersebut.
“Sembilan lagu di dalam album ini akan membawa tema tentang dewasa dan tumbuh. Seperti ranting yang berusaha mencari cahaya.
“Oleh itu, bulan ini akan menjadi kali terakhir saya membawakan pertunjukan Mantra Mantra,” tambahnya.
Sebelum ini, Kunto Aji hadir persembahan keduanya di Malaysia menerusi Konsert Nusafest Kunto Aji di Kuala Lumpur pada Jumaat di Zepp Kuala Lumpur.
Dengan pengunjung seramai 2,000 orang, Kunto Aji membawakan 18 lagu termasuklah Topik Semalam, Terlalu Lama Sendiri, Pilu Membiru, Rehat, dan Sulung.
 
								
 
								 
								 
											









