SHAH ALAM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai agar tidak menularkan video-video membabitkan nahas pesawat terhempas yang mengorbankan 10 mangsa di Elmina, Seksyen U16 di sini, semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zin berkata, orang ramai diminta menjaga sensitiviti terutama keluarga mangsa nahas.
“Kita perlu jaga sensitiviti dan hormati keluarga mangsa. Seeloknya video tersebut kongsi kepada polis untuk siasatan.
“Jadi kita minta orang ramai jangan tularkan video-video berkenaan. katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Terdahulu, Mohd. Shuhaily tiba di lokasi kejadian kira-kira 11.30 pagi untuk melihat pegawai dan anggota polis melakukan operasi kerja-kerja pencarian baki cebisan mayat mangsa dan pembersihan serpihan pesawat yang bertaburan.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain meminta orang ramai yang merakam detik nahas pesawat terhempas itu tampil kepada pihak polis bagi membantu siasatan.
Jelasnya, rakaman-rakaman itu diperlukan bagi pihak polis memerlukan maklumat untuk menjalankan siasatan kes tersebut.
Dalam nahas ngeri jam 2.40 petang semalam itu, 10 individu disahkan meninggal dunia dengan lapan daripadanya adalah juruterbang dan penumpang pesawat ringan tersebut.
Dua lagi mangsa adalah seorang pemandu dan penunggang e-hailing yang ketika nahas melalui lokasi kejadian.
Antara penumpang pesawat yang maut adalah Exco Pahang dengan portfolio Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun.
Ketika kejadian, pesawat dengan nombor pendaftaran N28JV itu dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Kedah ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Pesawat itu dikesan melencong ke kanan dari laluan penerbangan dengan siasatan awal mendapati pesawat berkenaan sudah mendapat kebenaran untuk mendarat oleh menara kawalan Lapangan Terbang Subang. -UTUSAN










