Jangan `play victim’ kalau disiasat sentuh isu 3R – Saifuddin - Utusan Malaysia

Jangan `play victim’ kalau disiasat sentuh isu 3R – Saifuddin

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan mana-mana ahli politik tidak mengambil sikap seolah-olah menjadi mangsa (play victim) sekiranya disiasat pihak berkuasa akibat menyentuh isu sensitif 3R (agama, kaum dan raja).

Ini kerana, ujar beliau, peringatan untuk tidak menyentuh isu 3R itu khususnya sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika ini sudah ditegaskan berulang kali oleh institusi raja serta Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

“Orang Melayu ni dia ada adab, kesopanan terutama yang membabitkan institusi raja. Jadi kalau itu pun dilakukan juga, jika nanti polis ambil tindakan, reaksi mereka ini akan ‘play victim’ seperti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor yang secara terang-terang mengungkap perkataan yang menghina Sultan Selangor.

“Apabila diambil tindakan, dia kata dia menjadi mangsa. Dia kata di Malaysia sudah tiada kebebasan bersuara.

“Jadi, sekali lagi kita mengulangi supaya tak perlu menyentuh perkara-perkara yang telah diberi peringatan berulang kali sama ada oleh pihak berkuasa atau institusi raja-raja,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Amal Bersama Pemimpin anjuran Pertubuhan Kebajikan Kebudayaan dan Sosial Kaum India Pulau Pinang di Bukit Jambul, dekat sini malam tadi.

Dalam perkembangan sama, Saifuddin Nasution turut menyifatkan kes melibatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyentuh isu 3R dalam satu program di Kapar, Selangor, baru-baru ini sebagai kes berprofil tinggi.

Jelas beliau, Muhyiddin telah menyentuh kes mahkamah membabitkan penggunaan kalimah Allah.

“Ada satu insiden yang kita anggap berprofil tinggi kerana ia datang daripada Muhyiddin dalam ucapannya di Kapar, beberapa hari lalu. Isu yang diperkatakan itu berkaitan dengan keputusan mahkamah berkait dengan isu kalimah Allah.

“Sultan Selangor sebelum ini sudah menitahkan supaya isu terbabit tidak dibahaskan sehingga ia dibincangkan pada mesyuarat Majlis Raja-Raja

“Namun, Muhyiddin didapati telah ingkar kepada titah Sultan Selangor yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

“Itu boleh dinilai oleh rakyat, kalaulah nasihat Tuanku pun tak boleh nak patuh, nasihat siapa lagi?” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Muhyiddin yang mendakwa Kerajaan Perpaduan sebenarnya ditadbir ‘orang bukan Melayu’ susulan tiada rayuan di mahkamah berhubung isu kalimah Allah.

Muhyiddin dilaporkan mendakwa, ketika menggalas tugas sebagai Menteri Dalam Negeri, beliau menerima tekanan daripada DAP untuk tidak mengemukakan rayuan.

Pada Mei lalu, media melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bahawa penganut Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab iaitu Baitullah, kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin Nasution yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) menasihati penyokong-penyokong parti politik supaya tidak melakukan perbuatan khianat dengan merosakkan bahan kempen seperti papan iklan sepanjang tempoh berkempen PRN ketika ini.

Tegas beliau, perbuatan merosakkan bahan kempen seperti papan iklan itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan penyokong parti politik (rakyat) kini lebih terdidik dan berpengetahuan.

“Ini bukan politik tahun 60-an atau 70-an. Amat dikesali kerana insiden ini masih berlaku.

“Oleh itu, saya menasihatkan semua pemprotes (penyokong parti politik) tidak lagi mengulangi perbuatan mereka itu kerana ia tidak bagus untuk budaya politik yang baharu dalam negara kita sekarang ini,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya