GUA MUSANG: Lebih 200 penduduk di Kampung Batu 6 di sini resah apabila jambatan yang menjadi laluan utama untuk keluar masuk ke kawasan itu sering ditenggelami air setiap kali hujan lebat susulan limpahan air Sungai Nenggiri di sini.
Dakwa penduduk sejak seminggu lalu sudah empat kali jambatan itu tenggelam sekali gus menyaksikan urusan harian mereka termasuk mengeluarkan hasil pertanian dan menghantar anak ke sekolah terjejas.
Seorang penduduk, Suzili Sulaiman, 47, berkata, walaupun terdapat laluan alternatif menggunakan jambatan kereta api, namun ia berisiko kerana jalan tersebut licin dan hanya boleh dilalui menggunakan motosikal.
“Disebabkan masalah itu, kami tidak dapat menghantar anak ke sekolah dan perlu menunggu air surut untuk keluar bekerja.
“Malah untuk minggu ini sahaja sudah tiga kali kejadian ini berlaku dan hari ini adalah kali keempat,” katanya ketika ditemui di Kampung Batu 6, di sini semalam.
Bagi Rozi Ismail, 69, pula berkata, lebih 200 penduduk di kawasan itu terpaksa berhadapan dengan masalah yang sama hampir setiap tahun.
Katanya, sebelum ini pernah ada perancangan membina jambatan baharu, namun sehingga kini projek itu masih belum terlaksana.
“Saya harap pihak yang berwajib dapat mempercepatkan pembinaan jambatan yang dijanjikan bagi keselesaan penduduk di kawasan ini,” ujarnya.
“Sampai bila kami ingin berhadapan dengan masalah yang sama dan apabila menjelang musim tengkujuh. Kebanyakan anak-anak penduduk di kampung ini bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Gua Musang yang terletak di bandar Gua Musang.
“Hari ini pun ramai yang tidak hadir ke sekolah kerana masalah jambatan yang tidak boleh dilalui selepas air sungai melimpahi jambatan,” ujarnya. – UTUSAN










