PETALING JAYA: Pelakon, Norish Karman memohon sesetengah pihak berhenti membuat spekulasi dan mendakwa dirinya seorang ‘scammer’ atau penipu susulan menerima RM200,000 daripada usahawan, Datuk Seri Aliff Syukri.
Menurut Norish, sebahagian jumlang wang ringgit yang diterimanya itu mahu digunakan untuk melangsaikan hutang yang dipinjam daripada rakan-rakannya sebelum ini.
“Sebahagiannya kami akan bayar hutang-hutang sahabat-sahabat yang telah bantu kami. Untuk sahabat-sahabat yang di luar sana, yang rasa mahu tuntut hutang boleh saja hubungi saya secara peribadi.
“Tak perlu memburukkan saya dalam Facebook.Tak perlu bergandingan dengan mana-mana blogger mengatakan yang saya ini konon-kononnya seorang scammer.
“Kalau saya scammer, saya takkan keluar begini. Saya duduk di rumah dan teruskan kegiatan scam saya. Saya hanya seorang ibu tunggal yang berjuang untuk anak-anak itu sahaja,” katanya menerusi sebuah audio siar.
Dalam masa sama, pelakon drama Spa Q itu turut menyatakan hasratnya untuk menggunakan sebahagian lagi duit yang diterimanya untuk merealisasikan impiannya membuka sebuah warung, selain menjadi modal untuk menjana pendapatannya.
“Sebenarnya saya pencinta makanan dan minuman (food & beverages). Saya mahu buka sebuah warung atau kedai kecil untuk berniaga. Dari situ orang boleh datang.
“Ramai sangat pencinta-pencinta jenama saya bertanya bila mahu buka kedai. Mungkin itu yang saya akan buat, bukan keseluruhan RM200,000 itu. Saya akan gunakan sebahagian sahaja,” jelasnya.
Sedar dengan situasi ekonomi semasa, pelakon itu mahu melaburkan sejumlah wang tersebut untuk membiaya insurans buat anaka-anaknya.
“Duit RM200,000 itu tidak banyak sebenarnya untuk zaman sekarang ini. Tetapi kita boleh menjadikan sesuatu yang lebih banyak kalau kita betul-betul jaga kewangan itu.
“Selain buka warung dan bayar hutang, saya mungkin akan pastikan ada lagi simpanan untuk tahun berikutnya. Mungkin juga saya mahu dapatkan insuran untuk lapan orang anak-anak saya. Itu sahaja, tiada langsung untuk saya,” ujarnya.
Sebelum ini, Norish menerima sumbangan berjumlah RM200,000 daripada Aliff Syukri selepas dikhabarkan mengalami masalah kesihatan sehingga perlu dirawat di hospital pada April lalu.
Namun, wujud dakwaan menyatakan pelakon itu mahu menggunakan wang tersebut untuk membeli kereta.










