Isu banjir Dengkil: Saya tak janji selesai, tapi akan usaha - Noorazli

Isu banjir Dengkil: Saya tak janji selesai, tapi akan usaha – Noorazli

NOORAZLI SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENGKIL: Menyelesaikan isu banjir adalah antara usaha dan fokus penting calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N.55 Dengkil, Noorazli Said jika dipilih sebagai wakil rakyat pada 12 Ogos ini.

Bagaimanapun, Ketua UMNO Bahagian Sepang itu tidak mahu menjanjikan ‘bulan bintang’ dan memberi harapan kepada penduduk Dengkil untuk menyelesaikan sepenuhnya isu itu.

“Saya tak boleh nak janji untuk selesaikan, tapi saya akan berusaha untuk menyelesaikan isu berkenaan.

“Jika ditakdirkan saya menang dan dapat bentuk kerajaan negeri sekali pun, saya masih perlu berunding dengan pihak berkaitan untuk selesaikan isu ini,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan surat cara pindah milik (MOT) di Taman Putra Perdana, hari ini.

Katanya, Dengkil berdepan pelbagai masalah dan paling utama ialah masalah banjir kilat yang kerap membelenggu penduduk terutama setiap kali hujan lebat.

Ia antara kawasan terjejas teruk akibat banjir besar melanda Selangor sekitar Disember 2021 akibat limpahan Sungai Langat.

Difahamkan, banjir itu berpunca daripada masalah sistem perparitan biarpun hujan pada kadar singkat sekitar empat hingga lima jam.

Noorazli berkata, beliau membawa tujuh tekad pada PRN kali ini merangkumi inisiatif kesihatan, infrastruktur, keagamaan, pendidikan, sukan, kebajikan dan ekonomi.

Selain itu, katanya, beliau melihat trend pengundi muda di sini mula berpihak kepada Barisan Nasional (BN) dan mereka sudah makin matang untuk membuat pilihan.

“Saya lihat pengundi muda sudah ‘membuka mata’ kerana sebelum ini mereka mudah terikut-ikut dengan Facebook dan TikTok disebabkan kali pertama mengundi.

“Ini kali kedua (PRN) mereka akan mengundi dan mereka sudah ada pengalaman, malah ada yang mula lihat biodata calon, manifesto dan sejarah gerak kerja calon dalam masyarakat,” katanya.

Pada PRN kali ini, Noorazli akan bersaing dengan tiga calon lain masing-masing Datuk Seri Jamil Salleh dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Mohd Daud Leong Abdullah (Parti Utama Rakyat) dan Darren Ong (Parti Sosialis Malaysia). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya