Isu Ambalat: ADUN Warisan digesa mohon maaf

Isu Ambalat: ADUN Warisan digesa mohon maaf

ASSAFAL P ALIAN dan ZULKARNAIN MAHDAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Assaffal P. Alian digesa membuat permohonan maaf secara terbuka selepas melemparkan tuduhan bahawa kerajaan Pusat menyerahkan blok Ambalat di Laut Sulawesi kepada Indonesia.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, kenyataan dibuat oleh ADUN Warisan semasa sidang DUN Sabah baru-baru ini jelas menunjukkan ADUN tersebut tidak bertanggungjawab dan dilihat cuba mengancam kedaulatan negara.

“Ironinya ketika ini, mereka bukan hanya menyasarkan fitnah terhadap Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri Sabah tetapi, mereka turut sasarkan kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Justeru, Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) mendesak agar ADUN Tungku itu segera membuat permohonan maaf kepada kerajaan dan seluruh rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, ADUN Tungku itu juga harus dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan selepas sengaja berbohong dan mengelirukan DUN.

Hari ini, Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin dalam satu kenyataan menjelaskan perjanjian ditandatangani antara Malaysia dan Indonesia hanya membabitkan laut wilayah dan ia tidak membabitkan kawasan dinyatakan sebagai Ambalat atau melebihi 200 batu nautika yang dikatakan sebagai Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

Mohamad berkata, sebagai Ahli Parlimen daripada Sabah, kerajaan sentiasa mengambil berat dan berhati-hati dalam apa isu termasuk yang membabitkan sempadan negara kerana ia dibuat berdasarkan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.

Pada sidang DUN minggu lalu, menerusi ucapan perbahasannya, Assafal memberitahu ahli Dewan supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama seperti pemimpin terdahulu yang menyebabkan Sabah kehilangan hak terhadap pelantar benua, Sabah kehilangan hak cari gali minyak melalui Akta Pembangunan Petroleum 1974.

“Malah, sebelum ini, baharu sahaja berlaku apabila kita membiarkan kerajaan Persekutuan membuat keputusan bagi pihak kerajaan negeri untuk menyerahkan Ambalat kepada kerajaan Indonesia.

“Ini antara kesilapan-kesilapan yang mungkin kita lakukan apabila kita tidak memperhalusi apa yang kita bincangkan hari ini,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN