PETALING JAYA: Industri insurans dan takaful memerlukan lebih ramai penasihat kewangan bagi menasihat dan memberi khidmat terbaik kepada masyarakat ke arah perlindungan kewangan yang mencukupi.
Presiden Persatuan Kebangsaan Ejen-Ejen Insurans Hayat dan Perancangan Kewangan Malaysia (Namlifa), G. Saseedaran berkata, sehubungan itu ejen insurans dan takaful perlu melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan yang sentiasa diberikan oleh persatuan tersebut.
“Program pendidikan daripada Namlifa harus dimanfaatkan oleh penasihat kewangan untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan serta mendapat pendedahan yang lebih,” katanya pada Majlis Malam Penganugerahan Anugerah Akard Ke-20 di sini malam semalam.
Dalam pada itu katanya, anugerah berprestij tersebut adalah simbol bagi profesionalisme dan produktiviti tinggi yang ditunjukkan oleh penasihat kewangan terlibat.
Menurutnya, Namlifa menggalakkan produktiviti melalui khidmat nasihat terbaik dan barisan penerima anugerah pada majlis itu digalakkan untuk mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat.
Pada majlis itu, sebanyak enam kategori disampaikan kepada penerima iaitu Akard Builders Diamond, Akard Mega Million Dollar Agency, Akard Leader Direct, Akard Personal Titanium, Akard Star Rookie dan Akard 101.
Dalam pada itu Saseedaran berkata, pihaknya akan mengumumkan kriteria kelayakan baharu untuk tahun perniagaan 2024 bagi tujuan penganugerahan pada 2025.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur Anugerah AKARD Kebangsaan 2023, Chew Siew Lay berkata, pengiktirafan anugerah tersebut merupakan platform bagi industri untuk terus mengejar impian dan sentiasa membuat rekod baharu.
Katanya, Anugerah Akard adalah penghormatan tertinggi dalam industri insurans hayat Malaysia.
“Pemberian anugerah tersebut merangkumi aspek profesionalisme, perkhidmatan berkualiti tinggi, kepemimpinan cemerlang, integriti dan standard etika penerima.
“Anugerah Akard melambangkan penghormatan tertinggi dalam industri insurans hayat Malaysia. Ia mewakili profesionalisme, perkhidmatan berkualiti tinggi, kepimpinan cemerlang, integriti termasuk etika penerima,” katanya. – UTUSAN