Iltizam suara Siputeh, Ashraf gariskan tiga teras utama dalam manisfesto - Utusan Malaysia

Iltizam suara Siputeh, Ashraf gariskan tiga teras utama dalam manisfesto

MOHD. Ashraf Mustaqim Badrul Munir (kanan) beramah mesra dengan warga Kerpan, semalam.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERLUN: Calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir menggariskan tiga teras utama dalam manifesto beliau di kawasan berkenaan.

Manifesto berkenaan berteraskan kepada ‘yang tiada kita bangunkan’, ‘yang ada kita tingkatkan’ dan ‘yang beban kita ringankan’.

Malah iltizam suara Siputeh yang dibawa Mohd. Ashraf itu merangkumi suara Siputeh, Insaniah dan Islami, pendidikan dan pelancongan, utiliti, terangkum, ekonomi dan harmoni.

Mohd. Ashraf berkata, dalam aspek suara Siputeh, pihaknya akan mengangkat suara penduduk di kawasan berkenaan menerusi pertemuan-pertemuan secara berkala bersama masyarakat mengikut zon-zon di DUN Kota Siputeh.

Pertemuan itu katanya, bagi mendengar aduan serta permasalahan mereka sekali gus mencari jalan penyelesaian termasuk membawa sebarang perkara berbangkit ke sidang DUN.

Katanya, berkaitan Insaniah dan Islami, pihaknya bakal mewujudkan Akademi Tengku Zaleha iaitu pusat pembangunan setempat dari cabang keilmuan sehingga ke arah pemerkasaan agenda pembangunan belia dari setiap aspek.

Selain itu katanya, mewujudkan kem Mahawangsa dalam menangani isu sosial, keciciran dalam pembelajaran, dadah serta melahirkan anak-anak muda Kota Siputeh yang terampil dengan keungulan interpersonal dan intrapersonal melalui program-program kem itu.

Ujarnya, daripada segi pendidikan dan pelancongan pula, beliau bakal mengambil inisiatif mewujudkan tuisyen percuma, mengenal pasti ikon pendidikan Kota Siputeh, mewujudkan hab pelancongan serta kalendar pelancongan Kota Siputeh dengan membangunkan program serta aktiviti khusus untuk dimasukkan di dalam kalendar tersebut.

“Daripada segi utiliti pula, kita akan berusaha menyelesaikan isu-isu utiliti setempat dan agenda pembangunan infra demi kemajuan Kota Siputeh. Selain itu, kita akan menumpukan aspek-aspek kebajikan warga Kota Siputeh secara menyeluruh dan antara hasrat kecil kita mewujudkan gudang Umar.

“Dalam aspek ekonomi, kita bercadang memperkenalkan satu mukim satu produk. Antara lain membangun dan membantu industri desa atau industri mikro dalam kalangan masyarakat setempat bagi menambah pendapatan isu rumah.

“Kita juga bercadang mewujudkan Made In Kodiang (MeKo) iaitu agenda penjenamaan terkait dengan produk-produk lokal dalam dalam DUN Kota Siputeh yang dihasilkan oleh masyarakat setempat untuk dikumpulkan di bawah satu hab MeKO dan diangkat ke pasaran yang lebih besar,” katanya di sini hari ini.

Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan di DUN Kota Siputeh bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan
Mohd. Ashraf, penyandang, Dr. Salmee Said dari Pakatan Harapan PH) dan Abdul Ramli (Bebas).

Tambah Mohd. Ashraf, beliau juga berusaha membina rukun masyarakat yang harmoni tanpa mengira latar belakang agama dan tradisi di dalam DUN Kota Siputeh.

Dalam pada itu, beliau juga berhasrat untuk membuka dua pusat khidmat bagi memudahkan rakyat mendapatkan perkhidmatannya.

“Saya cadang untuk buka pusat khidmat di Kodiang dan satu lagi mungkin di Kerpan atau Sanglang.

“Ini dapat memudahkan rakyat untuk datang ke pusat khidmat bagi sebarang urusan malah mereka juga tidak perlu bergerak jauh untuk mendapatkan khidmat wakil rakyat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya