KOTA KINABALU: Polis terima tiga aduan berhubung kes mengasari seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun di sebuah tadika di Luyang, Selasa lalu.
Laporan tersebut dibuat oleh ibu mangsa, pengusaha tadika dan pengasuh (suspek) yang mendakwa dikasari oleh bapa mangsa di tadika berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, pihaknya mengesan satu rakaman video yang tular menunjukkan seorang kanak-kanak telah dikasari oleh seorang penjaga di sebuah tadika.
“Siasatan awal polis mendapati insiden ini berlaku di sebuah tadika di Luyang. Ibu bapa kepada mangsa telah dimaklumkan oleh anaknya bahawa dia telah dikasari oleh penjaganya sehingga mendapat kesakitan di beberapa bahagian tubuh.
“Ibu bapa mangsa telah pergi ke tadika tersebut bagi melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mereka mendapati mangsa telah dikasari oleh salah seorang penjaga di tadika berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Ibu mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing.
Mohd. Zaidi berkata, mangsa dan suspek telah dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth untuk pemeriksaan doktor.
Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Kes turut disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman penjara setahun atau denda tidak melebihi RM2000 atau kedua duanya sekali. – UTUSAN










